LOTONG KELABU BUKIT MELAWATI


BUKIT MELAWATI yang juga dikenali sebagai Bukit Selangor terletak di Kuala Selangor, Selangor. Kedudukan Bukit Melawati cukup strategik, menghadap laut Selat Melaka dan Sumatra, Indonesia. Kedudukannya di tempat tinggi sangat sesuai sebagai kubu pertahanan. Musuh yang datang dari bawah dapat dikesan dengan mudah. Oleh sebab itu, Bukit Melawati pernah menjadi pusat pentadbiran Kesultanan Selangor pada akhir abad ke -18 dan awal abad ke -19. Sultan Abdul Samad pernah bersemayam di sini sebelum berpindah ke Bukit Jugra di Kuala Langat.

Di atas Bukit Melawati, terdapat batu hampar yang terletak di pintu masuk Kota Melawati. Batu hampar ini dipercayai menjadi tempat untuk memancung kepala pesalah yang dijatuhi hukuman bunuh.

Selain itu, terdapat kota yang dibina semasa pemerintahan Sultan Ibrahim (1778-1826) sebagai kubu pertahanan daripada serangan Belanda. Mengikut sejarah, kota ini pernah ditakluki oleh Belanda pada tahun 1784 selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka. Pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Datuk Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Abd. Majid Pahang, menyusun strategi untuk menawan Bukit Melawati. Serangan dilakukan selepas waktu Isyak, dan sebelum fajar subuh menyingsing, Bukit Melawati dapat ditawan semula. Dalam tempoh satu malam sahaja Belanda berjaya diusir keluar.

Pembangunan pesat berlaku di Kuala Selangor. Di kaki Bukit Melawati terdapat Masjid Kuala Selangor, Taman Alam, pangkalan nelayan Permatang dan jeti istirahat Kuala Selangor. Di atas bukit pula, terdapat sebuah menara tinjau untuk melihat anak bulan bagi menentukan tarikh permulaan puasa dan hari raya. Para pengunjung juga boleh menyaksikan panorama indah Selat Melaka dari menara tinjau ini. Rumah api yang terletak berhampiran menara tinjau ini masih berfungsi sebagai panduan kepada nelayan yang mencari rezeki di lautan.

Kini, pada hari Sabtu dan Ahad disediakan kereta api atau dikenali sebagai trem bagi kemudahan pengunjung mendaki Bukit Melawati. Pada hari tersebut, pengunjung tidak dibenarkan memandu kereta sendiri untuk ke atas Bukit Melawati. Hal ini adalah untuk mengelakkan kesesakan di atas bukit yang dipenuhi pengunjung. Bayaran untuk menaiki trem ini ialah RM2 bagi orang dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak.

Di atas Bukit Melawati terdapat muzium yang dinamai Muzium Sejarah Kuala Selangor. Berhampiran muzium ini terdapat sebuah telaga beracun yang dipercayai berisi air racun, hasil ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung. Penderhaka atau pesalah akan dimasukkan ke dalam perigi ini dan direndam seluruh badan sehingga ke paras dagu.

Di dalam Makam Diraja Selangor terdapat tiga buah makam Sultan Selangor, iaitu Sultan Selangor pertama, Sultan Salahuddin (1742-1778); Sultan Selangor kedua, Sultan Ibrahim (1778-1826); dan Sultan Selangor ketiga, Sultan Mahmud (1826-1857). Tangga seratus pula berupa susunan batu-batu yang dijadikan tangga untuk mendaki Bukit Selangor menuju terus ke pintu Kota Melawati dari bandar Kuala Selangor.

Satu lagi tarikan di Bukit Melawati ialah lotong. Terdapat ratusan ekor lotong yang jinak. Lotong ini datang dari hutan bakau yang berhampiran yang terletak di tepi laut, di bawah kaki Bukit Melawati. Lotong ini akan datang pada waktu pagi dan akan kembali ke hutan pada sebelah petang. Peniaga makanan ringan turut menjual kacang panjang dan kangkung segar kepada pengunjung untuk diberikan kepada lotong ini. Oleh sebab sering diberi makanan oleh pengunjung, lotong ini menjadi jinak dan senang didekati. Pengunjung boleh memegang dan bergambar bersama-sama lotong ini.

Menurut peniaga makanan ringan yang dikenali sebagai Ramu, lotong ini mempunyai kumpulan tertentu. Setiap kumpulan akan menguasai satu kawasan dan akan bergaduh jika kumpulan lain cuba menghampiri kawasan mereka. Setiap kumpulan pula mempunyai ketua sendiri. Para peniaga makanan ringan di sini telah memberikan nama atau gelaran tertentu kepada lotong yang terpilih. Misalnya, seekor lotong yang menjadi ketua bagi kumpulannya dinamai “King”. Ramu dan peniaga lain telah melatih lotong berkenaan sehingga memahami arahan yang diberikan. Apabila disuruh cium, lotong berkenaan akan mencium pipi pengunjung. Tetapi, sebelum mencium pipi, lotong perlu diupah dengan makanan.

Pelbagai aksi lotong sering menjadi objek lensa kamera pengunjung. Ada yang bersantai dan terbaring di dahan pokok, ada yang hanya menunggu di atas pembahagi jalan untuk mendapatkan makanan daripada pengunjung, dan ada yang menggendong anak. Rugi jika tidak ke Bukit Melawati!

Adnan Jamil