ADAKAH KATA-KATA PUJIAN PENTING?

Mungkin penggunaan kata-kata pujian kepada kanak-kanak dalam kehidupan sehari-hari mereka menjadi tanda tanya  bagi individu tertentu dalam masyarakat.  Ada antara individu yang mengatakan bahawa sikap suka memberikan kata-kata pujian adalah tidak wajar kerana anak-anak akan mendengarnya selalu, akibatnya, mereka tidak mempunyai perasaan terhadap pujian itu lagi selepas itu. Ada pula yang mengatakan bahawa pujian perlu disebut, tetapi cuma sekali sekala sahaja kerana anak-anak akan menghargai pujian itu.

Terdapat banyak kajian yang dijalankan dan didapati bahawa memberikan kata-kata pujian kepada anak-anak kecil adalah digalakkan untuk dilakukan pada setiap hari. Walaupun kata-kata pujian ini selalu disebut, anak-anak kecil akan lebih menghargainya setiap kali diujarkan kepada mereka. Anak-anak akan berasa gembira, seronok, mempunyai keyakinan yang tinggi, bersemangat, dan merasakan bahawa apa-apa yang dilakukan itu adalah wajar dan sememangnya perlu untuk mendapat ganjaran, iaitu dalam bentuk pujian.

Anak ialah anugerah Tuhan kepada ibu bapa. Ibu bapa harus peka dan sedar akan kepentingan proses tumbesaran anak mereka. Dalam proses menuju ke arah  pembesarannya, anak memerlukan bimbingan yang sempurna, di samping kasih sayang dan penyediaan segala kemudahan yang diperlukan oleh mereka. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorak anak-anak mereka agar menjadi insan yang berguna dengan menyemaikan sifat-sifat yang baik dan menjadikan diri mereka sebagai contoh yang paling unggul. Ibu bapa harus menggalakkan anak mereka supaya dapat berdikari dan jelaskan kepada mereka bahawa menyuruh mereka tidak bermaksud ibu bapa mahu melepaskan tanggung jawab.

Untuk menyediakan anak-anak dengan sikap berdikari, ibu bapa perlu memberikan latihan, bimbingan, dan pengawasan yang berterusan supaya apa-apa yang dilalui anak-anak dalam usia dua tahun atau tiga tahun, berupaya menyemaikan tabiat serta nilai yang baik untuk mereka menguruskan diri sendiri. Setelah berumur lima tahun dan enam tahun, tabiat yang baik ini telah pun ada dalam diri mereka, cuma sekali sekala ibu bapa perlu mengingatkan mereka tentang perlakuan mereka itu. Tegur dan bimbinglah mereka agar mereka melakukan setiap tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baik mungkin. Berikan galakan dan pujian sekiranya mereka menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh.

Sikap bertanggungjawab perlu diterap sejak anak-anak kecil lagi. Setiap perlakuan yang dilakukan haruslah dipikul sendiri. Sebagai contoh, selepas bermain, nasihati anak agar mengemas permainan itu sendiri atau selepas makan mereka haruslah mengangkat pinggan sendiri, dan sebagainya.

Apakah jenis-jenis pujian yang perlu diujarkan kepada anak-anak ini? Setiap pujian dan ujaran yang diberikan haruslah diujar pada hari dan waktu yang sama atau hampir sama. Anak-anak akan masih mengingati apa-apa yang telah dilakukan oleh mereka. Apabila mendapat pujian, mereka akan sedaya mungkin mengulangi perangai yang baik itu kerana mereka tahu perangai yang baik akan dihargai, lantas mendapat pujian.

Antara kata-kata pujian yang dapat diungkapkan oleh ibu bapa atau guru kepada anak atau pelajar mereka sebagai galakan supaya mereka mengekalkan amalan atau sikap yang baik, termasuklah:

  1. Terima Kasih!
    1. Terima kasih kerana mengemaskan permainan adik hari ini.
    2. Terima kasih kerana berkelakuan baik hari ini.
    3. Terima kasih kerana rajin belajar.
    4. Terima kasih kerana menjadi anak yang baik.
    5. Terima kasih kerana memahami ibu/bapa/guru.
    6. Terima kasih kerana menolong ibu/bapa/guru.
    7. Terima kasih kerana bersikap jujur.
    8. Terima kasih kerana datang ke sekolah hari ini..
  1. Pandai!
    1. Pandainya adik.
    2. Pandai adik menjawab soalan tadi.
    3. Pandai adik mengemas rumah.
    4. Pandai adik mengemas mainan adik.
    5. Pandai adik susun buku itu.
    6. Pandai adik menyikat rambut.
    7. Pandai adik membuat kerja sekolah.
    8. Pandai adik makan nasi.
    9. Pandai adik mengangkat pinggan.
    10. Pandai adik membasuh tangan selepas makan.
    11. Pandai adik membasuh tangan sebelum makan.
    12. Pandai adik membaca doa.
    13. Pandai adik menaiki basikal.
    14. Pandai adik memakai baju sekolah.

  1. Bagus!
    1. Bagus betul adik hari ini.
    2. Bagus betul perangai adik hari ini.
    3. Bagus betul kerja adik.
    4. Bagus betul adik bangun awal pagi ini.
    5. Bagusnya adik bermain.
  1. Tahniah!
    1. Tahniah, adik dapat markah tinggi!
    2. Tahniah, adik bangun awal pagi ini!
    3. Tahniah, adik makan sampai habis!
    4. Tahniah, adik menjadi anak yang baik hari ini!
    5. Tahniah, adik rajin hari ini!
    6. Tahniah, adik kerana jujur!
    7. Tahniah kerana adik bertanggung jawab!
    8. Tahniah kerana adik berjaya menghabiskan kerja sekolah hari ini!
  1. Kerja yang amat baik!
    1. Adik berjaya membuat kerja yang amat baik.
    2. Adik sememangnya bagus kerana membuat kerja yang amat baik.
    3. Apa–apa yang adik buat itu adalah kerja yang amat baik.
    4. Kerja yang bagus dan kerja yang amat baik.
  1. Cemerlang!
    1. Adik sangat cemerlang.
    2. Adik buat kerja sangat cemerlang.
    3. Perangai adik sangat cemerlang hari ini.
  1. Hebat!
    1. Kerja sekolah adik yang sungguh hebat.
    2. Perangai adik yang sangat hebat hari ini.
    3. Sangat hebat.
    4. Hebat sungguh adik.
    5. Kerja yang sangat hebat.
  1. Kemasnya!
    1. Kemasnya bilik ini.
    2. Kemas sungguh bilik ini.
    3. Kemas betul kerja adik ini.
    4. Kemas betul baju yang adik pakai hari ini.
    5. Kemas sungguh meja ini selepas adik makan.
    6. Kemas betul rambut adik sikat.
    7. Kemas sungguh kerja sekolah adik ini.
  1. Cantik!
    1. Cantiknya baju adik.
    2. Cantiknya bilik adik.
    3. Cantiknya tulisan adik.
    4. Cantiknya rambut adik sikat.
    5. Cantiknya adik hari ini.
    6. Cantiknya adik kemas bilik adik.
    7. Cantiknya kasut adik susun.
    8. Buku yang adik susun sangat cantik susunannya.
  1. Kerja yang bagus!
    1. Kerja yang sangat bagus.
    2. Apa-apa yang adik buat ialah kerja yang bagus.
    3. Kerja sekolah adik sangat bagus.
    4. Adik kemas bilik ini dan kerja yang sangat bagus.
    5. Adik kemas permainan adik dan kerja yang amat bagus
  1. Hebatnya!
    1. Hebatnya kerja adik.
    2. Hebatnya tulisan adik hari ini.
    3. Hebatnya perangai adik hari ini.
    4. Hebatnya adik memakai kasut sendiri.
    5. Hebatnya adik mengemas permainan adik sendiri.
    6. Hebatnya adik kerana pakai baju sekolah sendiri.
  1. Syabas!
    1. Syabas kerana adik berjaya menyiapkan kerja itu.
    2. Syabas kerana adik habiskan makanan adik hari ini.
    3. Syabas kerana adik berperangai baik hari ini.
    4. Syabas kerana membuat ibu/bapa/guru gembira hari ini.
    5. Syabas kerana membuat kerja sekolah dengan baik.
    6. Syabas kerana berjaya mengemas permainan adik tadi.
    7. Syabas kerana mengemas pinggan adik sendiri.

Terdapat juga kebaikan dalam memberikan kata-kata pujian kepada anak-anak ini. Kebaikan ini dapat menunjukan perangai yang ketara dalam diri anak-anak ini semasa proses tumbesaran. Terbukti bahawa selepas dipuji, anak-anak ini akan mempunyai kebaikan dalam sifat-sifat seperti yang berikut:

  1. Bertanggung jawab.
  2. Berkeyakinan tinggi.
  3. Berketrampilan.
  4. Hormat-menghormati.
  5. Tolong-menolong.
  6. Menghargai.
  7. Berterima kasih.
  8. Bertoleransi.
  9. Bersemangat.
  10. Berdikari.

Apabila anak-anak berjaya peroleh sifat-sifat di atas, wajar jika dikatakan bahawa anak-anak pasti dapat bersikap baik kerana bagi mereka apa-apa yang dilakukanoleh mereka dapat diketahiu dan dilihat oleh ibu bapa atau guru. Olehitu, mereka akan cuba sedaya-upaya mungkin untuk mengekalkan perangai sedemikian. Mereka belajar melalui kesilapan dan akan berbuat baik dan berperangai dengan wajar.

Ibu bapa dan gurulah yang memainkan peranan yang penting dalam pembentukan perangai yang baik bagi anak-anak ini. Hargailah kerja dan usaha yang dibuat oleh mereka. Anak-anak cuma belajar daripada apa-apa yang dilihat dan jika perbuatan mereka wajar mereka akan tahu setelah ibu bapa atau memuji mereka. Oleh itu, ibu bapa dan guru seharusnya berusaha untuk menyelami hati, melihat gerak geri dan  menunjukkan contoh teladan yang baik. Hal ini sudah pasti dapat menyedikan persekitaran  tumbesaran anak-anak yang  penuh dengan kebaikan.

Dr. Zaitul Azma Zainon Hamzah & Dr. Nik Rafidah Nik Affendi