EKUESTRIAN DALAM KAMPUNG

1

Kampung Rawa Hilir hanyalah sebuah kampung biasa dalam daerah Lenggeng, Negeri Sembilan. Tanpa pencemaran arus pembangunan, kampung ini menghijau dengan dusun buah-buahan. Udaranya bersih dan segar tanpa asap kenderaan yang menyesakkan pernafasan.

Suasana kampung yang damai ini sentiasa menggamit nostalgia. Lantaran itu, Azwan Alias, anak jati Kampung Rawa Hilir, tidak ragu-ragu untuk meninggalkan kota metropolitan, meninggalkan kerjaya sebagai pengamal media yang sudah sebati dengan dirinya.

Azwan meninggalkan kota Kuala Lumpur untuk mengabdikan diri di desa tercinta. Bermulalah kehidupan Azwan sebagai petani, menternak lembu di kampung halaman sendiri. Daripada beberapa ekor, lembunya membiak hingga puluhan ekor.

Tahun demi tahun, Azwan berasa semakin sukar untuk mengawal lembu yang terus membiak. Apalagi apabila terpaksa membawa lembu meragut rumput di kawasan yang agak tinggi dan berbukit tidak jauh dari rumahnya. Mulanya hanya berjalan, kemudian Azwan menggunakan motosikal lasak untuk mengawal kawanan lembunya keluar ke kawasan ragutan dan balik ke kandang. Kesukaran yang dihadapi cuba diatasi. Azuan membeli seekor kuda sebagai menggantikan motosikal untuk mengawal lembu peliharaannya. Sedikit demi sedikit, Azuan belajar menunggang kuda dan belajar memahami naluri kuda.

Akhirnya, Azuan dapat mengendalikan kuda dengan cekap. Mendaki bukit dengan kuda lebih mudah berbanding dengan menggunakan motosikal. Dia umpama seorang “cowboy” dalam filem Barat. Lembu dapat dikawal dengan sempurna. Keseronokan menunggang kuda mula terasa. Azuan membeli seekor lagi kuda untuk anaknya, Along. Mereka bergandingan mengawal lembu yang semakin membiak. Pasaran lembu juga meningkat.

Di samping membela lembu, kuda pula menjadi binatang peliharaan yang perlu diberikan perhatian. Azuan merawat kuda dengan bantuan kawannya dari Kuala Lumpur. Lama-kelamaan, cintanya kepada kuda mula berputik. Dia berasakan begitu serasi dan dapat memahami jiwa kuda yang dipelihara. Membersihkan dan memandikan kuda, memberikan makanan dan merawatnya bagaikan anak manja, menjadikan hubungan Azuan dengan kuda semakin serasi.  Kehadiran kuda di Kampung Rawa Hilir menarik perhatian penduduknya. Ramai yang kagum dengan kesungguhan dan kecekapan Azuan mengendalikan kuda. Kawan-kawan Azuan tergoda untuk belajar menunggang kuda.

Along juga semakin cekap dan mahir menunggang kuda. Bagi menambahkan pengetahuan tentang kuda, Azuan dan Along melayari internet dan membeli buku berkaitan kuda. Mereka perlu mengetahui lebih lanjut tentang pemeliharaan, pemakanan dan penjagaan kesihatan kuda. Azuan mengupah doktor veterina merawat kudanya untuk mengelak jangkitan penyakit. Ada ketikanya, dia mengajar kawan yang datang untuk mengetahui tentang kuda.

Beberapa orang rakan dan pemuda kampung mahu supaya Azuan mengajar mereka menunggang kuda. Azuan mula nampak akan kelebihan memelihara kuda. Dia berbincang dengan isterinya untuk membeli beberapa ekor kuda lagi. Dia bercadang untuk mengajar sesiapa yang mahu menunggang kuda dengan sedikit bayaran.

Persetujuan dicapai. Azuan menjual semua lembu peliharaannya. Hasil jualan digunakan untuk membeli kuda. Namanya mula meniti di bibir penggemar kuda. Seorang tokoh korporat bergelar Dato’ dari Kuala Lumpur yang mempunyai seekor kuda berbaka baik, menumpangkan kudanya di kandang milik Azuan. Beliau meminta Azuan menjaga dan merawat kudanya. Seminggu sekali tokoh korporat itu akan datang untuk menunggang kudanya.

Azuan berasakan bahawa sudah tiba masanya untuk dia bergiat aktif dalam aktiviti berkuda. Dia mengasaskan AS Equest, sebagai tempat untuk warga kampung dan sesiapa sahaja yang berminat belajar menunggang kuda. Sukan menunggang kuda atau ekuestrian kelihatan mewah dan bergaya. Sukan ini pastinya menjadi impian dan keinginan kebanyakan orang. Walau bagaimanapun, bidang ini tidak berani didekati kerana ia memerlukan biaya yang tinggi.

Azuan memahami keadaan itu. Dia mengenakan bayaran yang murah supaya aktiviti itu dapat disertai oleh masyarakat berpendapatan rendah, terutama penduduk kampungnya sendiri.

Tahun 2009, Azuan menjadi Pengurus AS Equest, dibantu oleh isterinya, Saadiah sebagai Pengurus Pemasaran. Along menjadi tenaga pengajar bersama-sama beberapa orang lagi pengajar yang berpengalaman. Pusat ekuin yang diwujudkan dalam kawasan rumahnya sendiri mendapat sambutan daripada masyarakat kampung dan kawasan sekitar, termasuk pelancong dari luar.

Kini, AS Equest mempunyai 16 ekor kuda baka New Zealand dan Australia yang memang terlatih dan tidak meragam apabila didekati pengunjung. Memandangkan sambutan yang menggalakkan, Azuan bercadang untuk menambah lagi beberapa ekor kuda.

Di samping menunggang kuda, AS Equest mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan kuda kepada pelajar sekolah. Aktiviti sukan berkuda dapat dijadikan aktiviti riadah sekeluarga sambil meluangkan masa bermesra dan berikteraksi dengan kuda. Aktiviti ini sesuai untuk kanak-kanak mempelajari cara menyayangi haiwan dan menghargai alam sekitar. Hari minggu dan kelepasan am menjadi hari yang sibuk di AS Equest. Pelancong bersilih ganti datang untuk melihat sendiri atau cuba menunggang kuda walaupun sekadar 30 minit.

Tidak perlu risau jika anda tidak biasa dan hanya ingin mencuba kerana di sini terdapat petugas yang mahir dan berpengalaman. Mereka ialah Jurupandu kuda terlatih yang akan membantu anda menunggang kuda. As Equestrian mendapat pengiktirafan Majlis Ekuin Malaysia. Bagi yang ingin menikmati udara segar perkampungan, boleh bermalam di sini kerana Azuan menyediakan perkhidmatan inap desa.

Kawasan atau gelanggang kuda hanya bersebelahan dengan rumah inap. Dalam persekitaran rumah inap ini, termasuk rumah Azuan, terdapat pelbagai pokok buah-buahan. Dusun buah-buahan pula (milik penduduk kampung) terdapat di sekeliling rumah Azuan. Anda akan puas memakan buah (termasuk durian) jika kunjungan anda kena pada musimnya. Buah-buahan di sini tentunya dijual dengan harga yang murah.

Setakat ini, hampir 100 orang peserta telah mengikuti kursus yang dikendalikan oleh Azuan dan stafnya. Kebanyakan peserta adalah dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan kawasan sekitar Seremban. Peserta yang paling muda berumur lapan tahun.

Usia muda, menurut Azuan, sangat digalakkan menceburi sukan berkuda kerana mereka tidak berasa takut dan jiwa mereka masih bersih. Mereka tiada gangguan fikiran. Jadi, fokus mereka hanya pada tunggangan dan hal ini sangat mambantu bagi mereka membiasakan diri dalam sukan berkuda. Kuda mempunyai kebolehan memahami naluri penunggangnya. Kalau penunggang berasa takut atau tertekan (tidak yakin) kuda akan lebih berasa takut sehingga menyebabkan kuda pun berasa tertekan dan mengambil peluang untuk berkerlakuan tidak baik. Persiapan mental dan fizikal perlu ada pada penunggang kuda supaya tidak berlaku masalah ketika menunggang.

Untuk menjadi penunggang kuda yang baik, perlu ada kecergasan, fleksibel, keseimbangan, dan sikap yang betul. Mungkin ada yg berpendapat untuk menunggang kuda hanya membiarkan kuda membuat segala pergerakan. Penunggang hanya mengikut kuda sahaja. Sebenarnya, penunggang yang baik mesti cergas, mempunyai kekuatan kaki, terutama paha, perut dan belakang bagi mudah mengawal pergerakan kuda. Sebenarnya, penunggang yang mengawal kuda untuk bergerak, berlari, berhenti dan sebagainya.  Semuanya dalam kawalan penunggang.

Menunggang kuda meletihkan badan. Jadi, penunggang kena cergas dan yakin. Fleksibel pula bermaksud, situasi penunggang yang senang melakukan perubahan dan pertukaran kedudukan dengan cepat dan mudah ketika menunggang. Kadang-kadang, pergerakan kuda mengejutkan dan ketika ini badan penunggang perlu fleksibel untuk mengikut pergerakan kuda.

Penunggang hendaklah berada tegap dan kemas di atas kuda sepanjang masa menunggang. Penunggang yang baik biasanya mempunyai naluri menyayangi kuda. Dia perlu berinteraksi dan membelai kuda dengan penuh kemesraan seolah-olah memahami perasan kuda yang ditunggang. Maklumat tentang AS Equest dapat dicapai melalui http://asequine.blogspot.com.

 oleh Adnan Abd Jamil