LATA MENYERLAH DI TENGAH RIMBA

lata 1a

Pengguna Lebuhraya Utara – Selatan yang melewati kawasan Tapah, Perak tentu pernah melihat air terjun yang kelihatan dari kejauhan, putih bagaikan kapas menghiasi Banjaran Titiwangsa. Penulis tertanya-tanya tentang air terjun itu dan sangat ingin berada di bawah terjunan airnya untuk merasa kedinginan air dan melihat keindahannya dari dekat . Penulis menuju ke pekan Tapah, lalu bertanya kepada penduduk tempatan lokasi dan cara untuk sampai ke air terjun itu.

Menurut maklumat yang penulis peroleh, air terjun tersebut dikenali sebagai Air Terjun Lata Kinjang. Lokasinya ialah di daerah Chenderiang, kira-kira 18 kilometer dari pekan Tapah, Perak. Dari Kuala Lumpur, perjalanan berkereta melalui Lebuhraya Utara-Selatan, kemudian susur keluar  ke Tapah mengambil masa lebih kurang dua jam dengan jaraknya lebih kurang 200 kilometer.

Air Terjun Lata Kinjang diiktiraf sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara, dengan ketinggian 850 meter. Setiap hari cuti, terutama apabila musim cuti persekolahan, Air Terjun Lata Kinjang menjadi tumpuan pengunjung. Pengunjung luar negara turut datang ke sini untuk meikmati keindahan air terjun dan kehijauan hutan Malaysia yang tidak terdapat di negara mereka. Biasanya, pengunjung luar ini dibawa oleh agen pelancongan.

Keindahan kawasan ini, di tengah kehijauan hutan yang menghijau turut menjadi lokasi bagi penggambaran filem dan drama.

Menurut cerita masyarakat tempatan, Lata Kinjang mendapat nama kerana pada masa dahulu terdapat banyak kijang di kawasan itu. Orang lnggeris yang memburu kijang menyebut nama haiwan itu sebagai “kinjang”, lalu nama itu kekal hingga sekarang.

Menurut satu lagi lagenda, seorang wanita cantik yang dipercayai puteri bunian pernah menjelma di kawasan air terjun itu sehingga menarik perhatian seorang hartawan lnggeris. Dia bercita-cita ingin mengahwini puteri itu. Hartawan lnggeris membina sebuah banglo ditingkat satu air terjun dan membina tangga batu dari bawah hingga ke puncak air terjun untuk melihat sendiri puteri bunian itu. Tetapi, setelah lama menunggu, puteri bunian tidak juga muncul. Dia berasa kecewa lalu pulang ke negara asalnya di Eropah. Banglo yang dibina rosak sedikit demi sedikit.

Puteri bunian yang disifatkan sebagai penunggu air terjun hanya menunjukkan dirinya beberapa minit sahaja kerana dia tidak mahu identitinya dikenali oleh manusia biasa. Cerita tentang puteri bunian hanya lagenda yang disampaikan dari mulut ke mulut, oleh generasi dahulu hinggalah sekarang.

Di kawasan air terjun itu juga terdapat serumpun pokok buluh perindu yang hanya boleh diambil oleh orang-orang tertentu sahaja. Seniman Agung, Allahyarham P.Ramlee dikatakan memiliki buluh perindu yang diambil dari Lata Kinjang untuk memerdukan suaranya. Di kawasan air terjun itu juga terdapat banyak kambing gurun, tetapi sukar diperangkap.

Di tingkat tiga air terjun terdapat kesan tapak kaki kijang dan harimau akar yang dipercayai disumpah oleh sang kelembai menjadi batu. Sang kelembai sejenis makhluk sakti dalam mitos cerita rakyat Malaysia. Dikatakan pada zaman dahulu, sang kelembai sering mengunjungi Lata Kinjang pada waktu petang. Penduduk di situ sangat takut kerana sang kelembai suka menyumpah dan apa-apa yang disumpah akan menjadi batu.

Di kawasan air terjun itu juga terdapat kesan kubur anak sang kelembai yang sudah menjadi batu. Terdapat juga batu berbentuk bekas tapak kaki kelembai dan lesung menumpuk padi.

Terdapat sebuah perkampungan Orang Asli berhampiran kawasan air terjun. Mereka telah lama mendiami perkampungan tersebut. Selain mandi-manda, pengunjung boleh menyusuri tebing untuk ke bahagian atas air terjun. Terdapat anak tangga, namun pengunjung mesti berhati-hati kerana anak-anak tangga itu licin.

Pengunjung akan berasa puas menikmati keindahan alam yang hijau sambil mendengar bunyi unggas rimba. Mandilah sepuas-puasnya dalam kolam yang terbentuk pada setiap aras air terjun. Berendam dalam airnya yang sejuk sungguh menyegarkan, terutama pada hari yang bercuaca panas.

Beberapa buah pondok disediakan untuk pengunjung berehat. Jika pengunjung ingin berkhemah atau menjelajah hutan, minta kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Berbanding dahulu, jalan masuk ke kawasan ini lebih elok dan papan tanda arah memudahkan pengunjung menuju ke destinasi. Pelbagai kemudahan disediakan di kawasan Air Terjun Lata Kinjang. Selain surau dan tandas awam, terdapat gerai menjual makanan, minuman dan kedai cenderamata.

Terbaharu, sebuah pusat yang dinamakan Taman Eko Rimba sedang dibina berhampiran kawasan air terjun. Apabila siap, pusat ini akan menjadi tempat pengunjung mendapatkan maklumat tentang Lata Kinjang.

Oleh Adnan Abd Jamil