BAHASA DALAM PENDIDIKAN KANAK-KANAK

Manusia dilahirkan dengan alat pemerolehan bahasa (Language Acquisition Device)  untuk membolehkan bahasa dapat dikuasai mereka.  Bahasa ialah alat yang digunakan oleh manusia untuk berhubung dengan manusia yang lain, dengan menggunakan bunyi-bunyi yang bermakna yang dikeluarkan oleh alat ujaran yang terdapat di dalam tubuh manusia. Bunyi-bunyi ini tersusun mengikut hukum-hukum bahasa  yang   ada   dalam  masyarakat pengguna bahasa tersebut.

Bahasa dapat melambangkan,  bukan sahaja buah fikiran, malah perasaan dan keinginan manusia itu. Walau bagaimanapun, bagi setiap kanak-kanak yang baharu dilahirkan, mereka memulakan   kehidupannya    tanpa   bahasa.   Proses pemerolehan bahasa dalam  kalangan kanak-kanak  akan  berlaku sedikit demi sedikit, mengikut perkembangan mental dan  perkembangan fizikal kanak-kanak itu sendiri secara keseluruhan.

Perkembangan bahasa kanak-kanak berkait rapat dengan perkembangan mental, kecerdasan, pengalaman, dan latar belakang sosial yang dilalui mereka. Sehubungan dengan hal itu, perkembangan bahasa kanak-kanak adalah tidak mungkin dapat dipisahkan daripada corak kehidupan keluarga  kanak-kanak tersebut.

Seseorang kanak-kanak itu, dari saat  kelahirannya, mereka sudah mengeluarkan bunyi dari mulutnya dalam bentuk tangisan, tetapi bunyi ini tidaklah dikatakan bahasa. Hal ini demikian kerana bunyi tangisan tidak mempunyai pola-pola yang teratur yang dapat menyampaikan  fikiran   dan   perasaan  dengan setepat-tepatnya. Peringkat ini. dikatakan peringkat membebel oleh para sarjana psikologi kanak-kanak. Peringkat ini berlaku ketika peringkat bayi, iaitu yang berumur  0 hingga satu tahun dan bunyi yang dikeluarkan  tidak mempunyai makna yang jelas.

Kanak-kanak hanya boleh dikatakan mempunyai bahasa apabila mereka sudah dapat menghasilkan dan membezakan satu bunyi ujaran daripada bunyi yang lain dalam hubungannya dengan orang lain. Bahasa yang diperoleh kanak-kanak itu dapat  dibahagikan kepada dua jenis, iaitu bahasa egosentrik dan bahasa perhubungan (sosialized  speech).

Bahasa egosentrik ialah bahasa yang tertumpu pada diri sendiri dan bahasa ini dilahirkan melalui tiga cara, iaitu pengulangan, monolog, dan monolog tumpuan. Bahasa egosentrik jenis pengulangan ialah percakapan kanak-kanak yang diulang-ulang secara    terus-menerus.  Pengulangan itu berlaku pada kata atau suku kata yang diujarkan. Tujuan pengulangan semata-mata  untuk keseronokan atau kegembiraan.

Bahasa egosentrik monolog pula ialah percakapan kanak-kanak yang seolah-olah menunjukkan bahawa kanak-kanak itu sedang berfikir, dan fikiran itu dilahirkan dalam  bentuk bunyi, dan kemudiannya dalam bentuk kata. Sementara itu, apabila kanak-kanak itu mencuba untuk menghubungkan butir percakapannya dengan orang   yang   berdekatan    dengannya,  sungguhpun orang itu   tidak   diajak   bercakap   dengannya, percakapan ini disebut monolog tumpuan.

Sementara dalam bahasa  perhubungan atausocialized speech, kanak-kanak  akan bertukar-tukar fikiran dengan orang lain dengan menggunakan pelbagai cara seperti bercerita, bertengkar, mengulas, membantah,  bertanya, dan sebagainya. Hal ini membayangkan bahawa pada tahap ini, bahasa digunakan oleh kanak-kanak untuk menanggap dunia di sekeliling mereka. Pola pemikiran kanak-kanak adalah jelas terpancar  dalam bahasa yang digunakan oleh mereka  ketika berkomunikasi.

Jika ditinjau dari segi perkembangan bahasa kanak-kanak, kata-kata yang mula-mula sekali dipelajari seseorang kanak-kanak ialah kata-kata utama, iaitu kata-kata yang penting yang merujuk kepada nama, seperti    “emak”,  “ayah”,  “susu”,  “mandi”,  “air”,    “makan”,  “kucing”,  “adik”, dan lain-lain lagi . Hal ini membayangkan bahawa pemikiran  kanak-kanak lebih tertumpu  pada kata-kata dan objek-objek yang konkrit.  Kata-kata abstrak tidak wujud lagi ketika itu. Oleh sebab itu, kata tugas sepertidan”, “pada” dan “dari”, tidak akan timbul dalam  bahasa kanak-kanak pada peringkat awal.

Perkembangan bahasa kanak-kanak berlaku tanpa disedari. Hal ini demikian kerana  seseorang kanak-kanak menguasai bahasanya secara meniru dan  tanpa  secara langsung. Hal ini bermaksud seseorang bahawa kanak-kanak tidak perlu mendapatkan  pendidikan formal untuk mempelajari bahasa pada peringkat awal, sebaliknya memperolehnya daripada bahasa yang diucapkan oleh ahli masyarakat di persekitarannya.

Hal ini  terkandung dalam Hipotesis Tabula Rasa  Behaviorisme  dan    Gagasan   Teori Pemelajaran  Sosial yang diasaskan oleh Miller dan Dollar, yang antara lain menyatakan bahawa pemelajaran dan perubahan tingkah laku seseorang kanak-kanak itu dapat dilakukan melalui  pemerhatian  dan peniruan model. Dalam konteks bahasa dan pendidikan kanak-kanak, ibu bapa dan orang yang paling hampir dengan kanak-kanak tersebut  merupakan  model yang ideal. Hal ini turut dinyatakan dalam  petikan hadis seperti yang berikut:

“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapalah yang mencoraknya sama ada mahu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim.)

Seterusnya, dalam perkembangan  bahasa kanak-kanak, perkataan yang cepat dikuasai  kanak-kanak  ialah  nama kanak-kanak itu sendiri. Kebetulan pula  dalam budaya orang Melayu, menyebut nama sendiri dianggap ”mesra” dan diteruskan hingga peringkat bahasa orang dewasa. Malah, tidak hairanlah jika artis-artis popular negara kita turut menyebut nama mereka bagi menggantikan kata ganti nama diri  “saya” kerana penggunaan nama dianggap lebih mesra.

Perkembangan bahasa dalam kalangan kanak-kanak akan terus berkembang mengikut masa dan umur. Dalam masa yang silih-berganti,  kanak-kanak akan  dapat memahami  penggunaan   kata   penjodoh bilangan, seperti helai, biji, ekor,   dan  sebagainya. Kanak-kanak juga akan menguasai pelbagai aspek bahasa yang lain yang didedahkan kepada mereka. Dengan banyak memberikan pendedahan bahasa kepada kanak-kanak, ibu bapa dan ahli keluarga tidak sahaja mengajarkan nahu kepada kanak-kanak  itu, tetapi  juga mereka sudah membantu memperluas pandangan, pemikiran,   dan   pemahaman kanak-kanak  tentang kehidupan di alam ini.

Oleh hal yang demikian, ibu bapa disarankan menggunakan  bahasa yang betul dari segi nahu dalam mendidik anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana kanak-kanak yang sering  mendengar bahasa orang dewasa  akan sedaya upaya meniru  pengucapan orang dewasa itu. Demikian juga terdapatnya  pendapat yang mengatakan bahawa kanak-kanak tidak menghadapi  kesukaran untuk menyesuaikan  diri mereka dengan perbezaan loghat yang didengar oleh mereka  kerana setiap kanak-kanak dilahirkan dengan daya untuk memahami  alam sekitarnya, termasuklah bahasa.

Seseorang kanak-kanak tidak akan memperoleh pengetahuan bahasa jika kanak-kanak itu  tidak pernah mendengar orang lain bertutur. Dengan hal demikian, kanak-kanak yang ada pengetahuan bahasa  sahajalah  yang dapat mencipta  konsep-konsep   atau  pengertian tertentu tentang sesuatu yang dilihat, didengar, dan yang dialami mereka.

Apabila kanak-kanak menjadi  lebih dewasa, kanak-kanak itu perlu didedahkan oleh ibu bapa dan guru dengan persekitaran penggunaan bahasa halus. Ketika itu, kanak-kanak  akan menggunakan bahasa  untuk berkomunikasi dengan lebih meluas, termasuk  untuk mempelajari ilmu, mencatatkan dan merekodkan segala pengalaman yang ditempuhi mereka nanti. Hal ini demikian kerana pendedahan kepada persekitaran bahasa ialah satu daripada syarat yang diperlukan jika seseorang itu ingin menguasai sesuatu bahasa di dunia ini.

Pendedahan kanak-kanak terhadap persekitaran bahasa dalam lingkungan kehidupannya diikuti dengan latihan, akan memberikan pengalaman berbahasa yang sangat berguna kepada kanak-kanak tersebut. Kekerapan seseorang kanak-kanak itu mendengar bentuk bahasa yang dituturkan oleh orang di sekeliling mereka menyebabkan mereka memperoleh bahasa tersebut dalam konteks yang sebenarnya. Seterusnya, kanak-kanak itu akan dapat membina ayat yang mudah dan ayat yang pendek yang lazim didengarnya bagi tujuan sosialisasi.

Selain itu, ibu bapa disarankan agar membentuk tingkah laku anak-anak mereka  menggunakan bahasa kiasan. Dengan menggunakan bahasa kiasan,  nilai pengajaran, keagamaan, kemanusiaan, dan sebagainya, dapat disampaikan secara tidak langsung. Di samping itu, ibu bapa dapat  menerapkan amalan bersopan santun dan berbudi bahasa dalam diri kanak-kanak. Hal ini bertujuan untuk mendidik anak-anak mereka  agar sentiasa menjaga tutur kata ketika berbicara.

Selain itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa zaman sekarang untuk menyampaikan warisan bahasa masyarakat Melayu dahulu agar diketahui dan dikuasai generasi muda zaman sekarang. Kehebatan generasi Melayu dahulu yang  lebih gemar berkias sebagai satu cara untuk menyampaikan pengajaran dan melahirkan isi hati, di samping membentuk insan yang berketerampilan  dari segi penggunaan bahasanya, perlu didedahkan kembali. Sejarah tamadun manusia telah membuktikan bahawa bahasa adalah berkait rapat dengan pembinaan manusia  yang bertamadun.

Penggunaan kiasan atau simpulan bahasa seperti “mandi kerbau”,  “hangat-hangat tahi ayam”, harus didedahkan untuk menggalakkan kanak-kanak membuat sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh. Dalam usaha mendidik kanak-kanak agar tidak tamak, selitkanlah kiasan peribahasa seperti “beri betis hendak paha” atau “bagai anjing dengan bayang-bayang”.

Sementara itu, bagi menghalang seseorang kanak-kanak daripada suka bergaduh, mencetuskan konflik, berikan nasihat dengan menggunakan kiasan  “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”, “tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata” “bagai mulut murai”, dan sebagainya. Begitu juga dalam mendidik kanak-kanak agar sabar dengan kerenah kawan-kawan atau adik-beradik, tenangkan hati mereka dengan kiasan  peribahasa, “banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam”.

Selain itu, kanak kanak itu perlu juga didedahkan dengan bahasa yang  berunsur kreatif dengan tujuan memupuk bakat seni dalam diri mereka. Dalam hal ini, pendedahan kepada cerpen, puisi tradisonal, puisi moden, novel, drama, dan sebagainya, adalah digalakkan. Dengan adanya usaha daripada ibu bapa, guru dan ahli masyarakat, pembinaan insan yang luhur dan berketerampilan  akan berhasil serta dapat dibentuk dalam kalangan generasi muda.

 

Bangsa Melayu sememangnya tidak dinafikan mempunyai nilai rasa yang tersendiri dan menilai  tinggi terhadap budi bahasa seseorang. Orang yang berbudi bahasa, berbudi mulia dan bersopan santun dalam berbahasa akan diberi nilai yang sangat tinggi. Orang yang tidak berbudi bahasa dan bercakap dengan cara yang tidak sopan akan dianggap berperangai rendah, tidak berbudi dan dikatakan kurang ajar atau biadab. Oleh hal yang demikian, kanak-kanak perlu didedahkan dengan pelbagai bentuk penggunaan bahasa, yang tersurat dan yang tersirat, agar mereka dapat menjadi insan yang mempunyai nilai  kesopanan dan kehalusan budi pekerti.

Selain itu, mereka perlu menjadi anggota masyarakat yang kaya dengan adab sopan serta halus budi pekertinya. Mereka perlu menjadi warganegara Malaysia yang sentiasa bijaksana dalam menyelesaikan masalah dalam keluarga, dalam masyarakat dan dalam negara. Di samping itu, mereka sentiasa berhati-hati dengan kata-kata yang dilafazkan,  berhati-hati ketika mengujarkan sesuatu supaya tidak menyinggung persaan orang lain. Mereka harus juga menyedari bahawa “telajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya”.

Sehubungan dengan hal itu, kanak-kanak perlu dilatih agar berfikiran rasional   sejak di bangku sekolah lagi. Ungkapan “ikut rasa binasa, ikut hati mati, dan ikut akal kekal” perlu didedahkan kepada mereka supaya  mereka dapat bertindak dengan wajar dan adil.  Begitu juga dengan ungkapan  “menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserakan”. Kiasan Melayu ini cukup bermakna kerana kiasan ini mengingatkan seseorang  supaya berhati-hati, teliti, berpandangan jauh, sabar, ikhlas, dan memikirkan keputusan yang positif demi menjaga kepentingan semua pihak.

Demikian juga dengan kiasan, “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”. Kiasan ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu terdahulu telah banyak menyemaikan benih pendidikan yang  bijaksana menerusi bahasa kiasan untuk ahli masyarakatnya. Melalui bahasa kiasan, mereka  membentuk  perilaku masyarakat yang mulia, menyelesaikan sesuatu masalah dengan baik dan menjaga hubungan dalam masyarakat. Inilah kekayaan bahasa Melayu. Bangsa Malaysia hari ini perlu meneruskan kelangsungan bangsa yang bersopan-santun, berbudi pekerti mulia, bijaksana serta pandai menjaga hubungan dalam masyarakat dengan menggunakan bahasa yang diwarisi. Insan yang bermaruah akan menaikkan  martabat bangsanya.

Sehubungan dengan hal itu, perkembangan bahasa kanak-kanak ada hubung kaitnya dengan perkembangan mental seseorang kanak-kanak itu. Justeru, bagi memastikan berlakunya perkembangan bahasa yang ”sihat”, seseorang kanak-kanak itu perlu diberi pengayaan bahasa oleh ahli masyarakatnya. Pelbagai bentuk ragam bahasa perlu didedahkan kepada kanak-kanak supaya penguasaannya lebih menyeluruh, iaitu tidak terhad kepada tujuan untuk memperoleh ilmu semata-mata, tetapi juga untuk menjadi insan yang berketerampilan, berkemahiran, dan beroleh kecekapan dalam berkomunikasi.

Dr. Zatul Azma Zainon Hamzah

Dr. Normaliza Abd. Rahim