TAMAN TASIK TAIPING

Taiping diiktiraf sebagai bandar warisan apabila Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menyenaraikan 31 bangunan dan tempat di bandar itu sebagai tertua di Malaysia.

Menurut catatan sejarah, bandar Taiping yang nama asalnya Klian Pauh, telah dibangunkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1880-an kerana daerah ini kaya dengan bijih timah di sekitar Sungai Larut.

Sebelum kedatangan British, Jajahan Larut ditadbir oleh Menteri Larut, iaitu Dato’ Long Jaafar yang diberikan kuasa oleh Sultan Perak untuk mentadbir jajahan ini. Long Jaafar telah membina pusat pentadbirannya di Bukit Gantang dan menjadikan Kuala Sungai Limau di Trong sebagai pelabuhan utama Jajahan Larut.

Bijih timah yang menjadi sumber bumi yang mahal di Kelian Pauh menjadi rebutan sehingga menimbulkan pergaduhan dua kumpulan pendatang dari negara China, iaitu Hai San dan Ghee Hin. Setelah dua kumpulan itu berdamai, Taiping yang bermaksud “aman” atau “damai” dipilih sebagai nama baharu bagi Kelian Pauh. Taiping menjadi ibu negeri Perak sehingga tahun 1937. Selepas itu, Ipoh dipilih sebagai ibu negeri kerana kedudukannya di tengah-tengah negeri Perak.

Bekas lombong bijih timah itu akhirnya menjadi sebuah taman rekreasi yang tenang dan menyamankan yang dikenali sebagai Taman Tasik Taiping. Taman seluas 62 hektar ini menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk melawat Taiping. Taman ini merupakan taman tasik yang paling awal dijadikan taman rekreasi di Malaysia dan telah diiktiraf sebagai taman awam yang terindah di Malaysia.

Deretan pokok angsana berusia ratusan tahun menghiasi landskap indah taman. Dahan-dahannya melentur menaungi jalan. Ada dahan yang melentur sehingga mencecah permukaan tasik, menjadikan pemandangan cukup mempesonakan.

Keindahan taman tasik ini sering dijadikan lokasi penggambaran drama, filem dan sesi fotogfari pengantin baru. Aktiviti air turut menarik perhatian pengunjung. Dengan bayaran yang telah ditetapkan, pengunjung boleh memilih sama ada hendak menaiki feri, sampan, bot kayuh berbentuk itik atau bot untuk pasangan berkayuh menyusuri tasik yang tenang.

Sebuah taman permainan sentiasa meriangkan kanak-kanak. Terdapat juga trek untuk berjoging. Pelbagai kemudahan asas disediakan di sini, termasuk tandas dan surau. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping melalui Lebuh Raya Utara Selatan sejauh 270 kilometer mengambil masa lebih kurang tiga jam.

Taman Tasik Taiping sentiasa menjadi destinasi riadah warga Malaysia. Suasana tenang dan persekitarannya yang hijau mendamaikan jiwa.

Oleh  Adnan Abd Jamil