SHANA KOSMETIK, RESTORAN SAHABAT KITA

Sungai Petani merupakan bandar yang kedua terbesar di Kedah, selepas Alor Setar. Bandar ini menjadi pusat pentadbiran bagi daerah Kuala Muda. Nama bandar ini diambil daripada nama sungai, iaitu Sungai Petani, anak Sungai Merbok.

Suatu ketika dahulu, Kedah dikenali dengan nama Langkasuka. Banyak pedagang yang berulang-alik antara Lembah Merbok dan Pattani di Selatan Thailand serta bahagian timur Semenanjung melalui jalan darat. Nama “Petani” mungkin berkaitan dengan daerah Pattani di Thailand. Pattani berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu pathini, yang bermaksud “perempuan suci”. Gelaran ini diberikan kepada puteri Merong Maha Wangsa yang cantik jelita.

Kunjungan penulis ke Sungai Petani menyaksikan bandar ini sedang giat dibangunkan. Taman perumahan dan premis perniagaan semakin banyak didirikan. Seperti biasa, masih terdapat banyak kesalahan ejaan dan frasa nama bagi nama kedai, papan iklan dan taman perumahan.

 

“Shadani: Fotostat, Buku dan Alatulis”.

Alatulis adalah kata majmuk yang perlu dipisahkan menjadi dua perkataan – “alat tulis”.

Hanya terdapat 16 perkataan kata majmuk yang dianggap mantap dan dieja sebagai satu perkataan, iaitu kakitangan, setiausaha, bumiputera, jawatankuasa, suruhanjaya, tanggungjawab, sukacita, sukarela, pesuruhjaya, olahraga, tandatangan, warganegara, antarabangsa, matahari, kerjasama dan beritahu.

“Photostat & Alat Tulis”.

Kata majmuk “alat tulis” ditulis betul, tetapi perkataan photostat hendaklah digantikan dengan ejaan dalam bahasa Melayu – “fotostat”.

 

“Awas: Bonggol Dihadapan”.

Papan tanda peringatan ini berkesan bagi mengingatkan pemandu kereta atau penunggang motosikal supaya memperlahankan kenderaan. Walau bagaimanapun, perkataan “dihadapan” hendaklah dijarakkan. “Di” adalah kata sendi nama yang digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya.

Penulis singgah makan malam di gerai makanan Mutiara Satu.  Antara menu makanan yang terpapar di gerai itu ialah “Nasi Goreng Telor Gulong”. Dua perkataan pada frasa nama ini salah ejaannya. “Telor gulong” sepatutnya ditulis “Telur gulung”. Telor bermaksud seseorang yang tidak dapat mengucapkan kata-kata dengan sebutan yang betul atau pelat.

 

“Sobri bin Othman Agency”. Rakyat Malaysia, khususnya masyarakat di Sungai Petani akan faham jika kedai ini dinamai “Agensi Sobri bin Othman”.

“Shadani Stationary”. Syarikat ini menjual buku, akhbar dan alat tulis. Sepatutnya, papan tanda nama kedai ditulis dalam bahasa Melayu , iaitu Alat Tulis Shadani.

 

“SPS Auto Workshop”. Walaupun terdapat bahasa Melayu dan bahasa Tamil pada papan tanda nama kedai ini, tetapi bahasa Inggeris yang diutamakan.

 

“Restaurant as Home Kitchen”, “Wonderful Home Deco” dan iklan di sebuah hotel. Nampaknya, bahasa Inggeris masih menjadi keutamaan di Sungai Petani.

  

Pemilik “Kedai Perabut: Khanzada Enterprise” dan “Perabut How Wah” perlu membetulkan ejaan pada nama kedai mereka. Dalam sistem ejaan rumi bahasa Melayu, terdapat beberapa perkataan yang dikecualikan daripada hukum keselarasan vokal. Bagi perkataan perabot, lancong, lakon, calon, dan lapor (kesemuanya daripada bahasa Jawa), pasangan vokal “a – o”  yang sepatutnya menjadi  “a  – u”, dikekalkan. Oleh itu, nama kedai-kedai di atas perlu ditukarkan menjadi “Kedai Perabot: Syarikat Khanzada” dan  “Perabot How Wah”.

“Harga Tinggi Membeli Balik 2nd Phone”. Tunggang-langgang iklan yang terdapat di sebuah kedai peralatan telekomunikasi. Penulis faham maksud yang hendak disampaikan. Maka, seharusnya ia ditulis begini: “Telefon Terpakai: Belian Balik dengan Harga Tinggi”.

 

“Shana Kosmetik”. Frasa ini bermaksud Shana yang digelarkan “kosmetik”. Mungkin kerana Shana selalu memakai kosmetik, maka dia pun digelar “Shana Kosmetik”. Jadi, bagi mengelakkan kekeliruan, kedai ini hendaklah dinamai “Pusat Kosmetik Shana” atau “Perniagaan Kosmetik Shana” dengan mengikut Hukum D-M.

Sama juga halnya dengan “Amariz Kafe”. Amariz mendapat gelaran “kafe” mungkin kerana dia sering menjadi pelanggan kafe. Maksud sebenar tentulah bukan seperti yang diandaikan sebab premis ini adalah sebuah kafe yang dimiliki oleh Amariz. Jadi, mengikut Hukum D-M, nama yang tepat bagi kedai ini ialah “Kafe Amariz”.

“W. S Handicraft Sdn. Bhd.: Pemborong Alat-alat Jahitan Kraftangan & Bunga Tiruan”.

 Kedai ini seharusnya dinamai “Kraf Tangan W. S Sdn. Bhd.”. Ejaan kraftangan perlu dibetulkan kerana kata majmuk dieja terpisah, yakni “kraf tangan”.

“Emas & Handphone boleh meminjam wang”. Lucu juga apabila membaca iklan ini. Jika emas boleh ditulis dalam bahasa Melayu, mengapakah handphone tidak ditulis telefon bimbit? Seterusnya, “emas dan telefon bimbit” seolah-olah pelanggan yang dibenarkan meminjam wang. Pemilik kedai perlu membuat sedikit pembetulan supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Jadi, iklan tersebut sepatutnya ditulis: Emas & Telefon Bimbit boleh dicagar untuk meminjam wang.

“Alhidayah Minimart”. Pemilik kedai ini melakukan beberapa kesalahan. Hukum DM tidak betul, frasa nama salah, ejaan juga salah. Sepatutnya, kedai ini dinamai “Pasar Mini al-Hidayah”.

“Sayang Sarah: Boutique”. Nama kedai ini menarik perhatian. Cuma, boutique sepatutnya dieja “butik”. Tentulah lebih menarik jika nama kedai ini “Butik Sayang Sarah”.

Pemilik “Kedai Ubat Kim Seng” mengutamakan bahasa Melayu. Dia percaya bahawa semua orang atau rakyat di negara ini tahu membaca bahasa Melayu.

Begitu juga dengan pemilik “Restoran Feng Yang”. Pastinya kedai ini khusus untuk kaum Cina, tetapi pemiliknya tetap berbangga dan yakin bahawa pelanggannya, rakyat Malaysia, memang memahami bahasa Melayu. Tahniah kepada pemilik dua buah kedai ini!

Pemilik “SP: Pusat Haiwan Kesayangan” dan  “Pusat Kosmetik Ceria” menggunakan nama yang sesuai dan menarik perhatian.

“Klinik Cinta Sayang”. Penggunaan nama klinik ini menarik. Agaknya, di klinik ini anda akan dilayan atau dirawat dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Sakit anda pun akan cepat sembuh!

“Tadika Cinta Sayang”.  Tadika ini pun dapat menarik perhatian ibu bapa yang mahu menghantar anak bagi pendidikan prasekolah. Ibu bapa tidak akan risau apabila meninggalkan anak mereka di pusat penjagaan yang penuh rasa cinta dan kasih sayang.

Tidak terkecuali, “Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang” akan selalu dikunjungi mungkin kerana nasi lemaknya digauli  rasa cinta dan sayang!

“Restoran Sahabat Kita”. Wah, pasti ramai yang mahu singgah untuk makan di sini! Pemilik restoran memang bijak menarik pelanggan dengan nama restorannya yang menggamit rasa pelanggan.

“Pasar Mini Jimat Jaya”. Penggunaan nama pasar mini ini betul. Pemilik kedai berjaya memancing pelanggan untuk singgah di sini. Pelanggan dapat berjimat sekiranya membeli-belah di sini. Syabas kepada pemilik restoran dan pasar mini di atas. Mereka wajar diberikan penghargaan.

Nama jalan dan taman perumahan di sekitar Sungai Petani diberikan nama yang indah dan menarik. Antaranya termasuklah Taman Ria Indah, Taman Berlian, Jalan Kelab Cinta Sayang dan Jalan Pahlawan.

Semua premis ini tidak menghormati bahasa Melayu. Mereka masih megah dan mengutamakan bahasa Inggeris. Mengapa mereka bersikap begitu?

“Ikhtiyar: Salun  Rambut, Spa Islam: Untuk Wanita Sahaja”. Memang bagus dan sesuai jika ada pusat spa yang dikhaskan untuk golongan wanita seperti ini. Tetapi, keterangannya bercampur-aduk dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Hair spa sepatutnya “spa rambut”, rebonding sepatutnya “meluruskan rambut”, facial (rawatan muka) dan rawatan rambut bagi hair treatment.

 oleh Adnan Abd Jamil