TAIPING BANDAR BERSEJARAH

1

Suatu ketika dahulu, Kelian Pauh di daerah Larut kaya dengan bijih timah. Sumber bumi yang mahal itu menjadi rebutan sehingga menimbulkan pergaduhan dua kumpulan pendatang dari negara China, iaitu Hai San dan Ghee Hin. Setelah dua kumpulan itu berdamai, Taiping yang bermaksud “aman” atau “damai” dipilih sebagai nama baharu bagi Kelian Pauh. Taiping menjadi ibu negeri Perak sehingga tahun 1937.

Taiping diiktiraf sebagai Bandar Warisan. Bandar dan bangunan yang kesemuanya berjumlah 31 buah telah diisytiharkan sebagai tertua di Malaysia. Penulis melihat sendiri pembangunan bandar Taiping sewaktu lawatan baru-baru ini.

Penulis juga meninjau sekitar bandar ini dan menyaksikan banyak kesalahan ejaan dan kesalahan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dan nama kedai.

Pemilik beberapa buah pasar raya melakukan kesalahan pada ejaan kata majmuk “pasar raya” bagi kedai mereka. Antaranya, termasuklah “Pasaraya Kawanku” dan “Pasaraya Simpang Jaya”. Pasar raya adalah kata majmuk yang mesti dieja dua perkataan.

“Sykt. Letrik Lean Hup” bagus kerana mengutamakan bahasa Melayu, selain bahasa Cina. Walau bagaimanapun, terdapat kesilapan ejaan perkataan “letrik” yang sepatutnya dieja “elektrik”.

“Computerize Testing” – semua orang maklum akan kedai ini, iaitu sebuah kedai cermin mata yang melakukan ujian mata berkomputer. Malangnya, papan tanda nama kedai tidak mengutamakan bahasa Melayu. Penduduk Taiping bukan semuanya berbangsa Cina dan tidak perlulah meletakkan bahasa Inggeris sebagai keutamaan.

Iklan “Jawatan Kosong” pada kain rentang ini semuanya dalam bahasa Inggeris. Rasanya, semua jawatan ini bukan untuk pengisian tempat di luar negara. Penduduk Taiping tentu faham jika jawatan-jawatan tersebut ditulis dalam bahasa Melayu, iaitu eksekutif jualan, wakil jualan, pemandu persendirian, kerani am/akaun, pekerja am dan pembantu kedai.

Pemilik “Syarikat Perabut Lim” tentu menghormati dan faham akan kepentingan bahasa Melayu. Sungguhpun begitu, ejaan perkataan “perabut” hendaklah dibetulkan menjadi “perabot”. Perkataan perabot sering disalah eja, bukan sahaja di Taiping, malah di beberapa buah tempat lain juga. Dalam sistem ejaan rumi bahasa Melayu, terdapat beberapa perkataan yang dikecualikan daripada hukum keselarasan vokal. Bagi perkataan perabot, lancong, lakon, calon, dan lapor yang berasal daripada bahasa Jawa, ejaannya dikekalkan.

Penulis menjamu selera di sebuah restoran yang dinamai “Restoran Sri Simpang: Tomyam & Seafood”. Ejaan “sri” tidak terdapat dalam Kamus Dewan. Yang betul bagi ejaan ini ialah “seri”. Perkataan Inggeris “seafood” perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Jika dibetulkan papan tanda nama restoran ini, tentulah lebih menampakkan kemalaysiaannya – Restoran Seri Simpang: Tomyam & Makanan Laut.

Ejaan perkataan kelinik bagi tiga buah klinik initidak betul. Penulis faham bahawa Taiping sebuah bandar yang telah lama wujud. Semua klinik ini tentunya didaftarkan sebelum tahun 1972, iaitu sebelum ejaan rumi baru bahasa Melayu dilaksanakan. Mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu, huruf “e” pada perkataan “kelinik” hendaklah digugurkan. Setelah 41 tahun sistem ejaan rumi baru bahasa Melayu ini dilaksanakan, eloklah sekiranya ejaan pada tanda nama klinik-klinik ini ditukarkan kepada ejaan standard, iaitu “Klinik Viswa”, “Klinik Yuen” dan “Klinik Chin”.

“Pasar Mini Sri Devanartan”. Penggunaan Hukum DM pada papan tanda nama kedai ini tepat dan betul. Berlainan pula halnya dengan “Amies Mini Market”. Papan tanda nama kedai ini hendaklah ditukarkan kepada “Pasar Mini Amies”. “Davana Collection” sepatutnya dinamakan “Koleksi Davana”.

Terdapat kesalahan ejaan pada papan tanda kedai “Halim Motor: Membaiki Motorsikal”. Ejaan “motorsikal” salah. Ejaan yang betul ialah “motosikal”. Penulis mencadangkan kedai ini dinamakan “Kedai Membaiki Motosikal Halim”.

“Perabot kualiti” dan “sofa kualiti” terpampang pada sebuah kedai menjual perabot dan sofa. Penulis mencadangkan supaya dibuat sedikit penambahan supaya maksudnya lebih jelas, iaitu “perabot berkualiti” dan “sofa berkualiti”.

 “Syarikat Elektronik Seng Seng” mengutamakan bahasa Melayu,  menggunakan Hukum DM yang tepat dan mengeja betul perkataan “elektronik”.

“Gaya Lebih Mewah”.  Tahniah kepada premis ini kerana mengutamakan bahasa Melayu. Terdapat juga tulisan Cina yang ditulis kecil sedikit. Yang perlu dibetulkan ialah perkataan “kraftangan” yang sepatutnya ditulis dua perkataan – kraf tangan.

“Restoran Rumah Atap” dan “Kedai Makanan dan Minuman Xiang Ting” adalah dua buah kedai makanan Cina. Sudah pasti pelanggannya adalah masyarakat berbangsa Cina. Namun begitu, pemiliknya lebih mengutamakan bahasa Melayu kerana yakin bahawa kaum Cina juga memang memahami bahasa Melayu. Tahniah!

Restoran “mamak” ada di mana-mana sahaja. Mereka menggunakan strategi yang baik bagi menarik pelanggan. Perkataan “maju” pada nama restoran memang menjadi semacam satu kemestian bagi restoran “mamak”. Sesuai dengan nama restoran ini – Restoran Rezeki Maju – pemiliknya yakin bahawa pelanggan membawa rezeki, lalu menjadikan restorannya maju.

“Kedai Kopi Sin Gee Heng” tentulah dimiliki oleh peniaga berbangsa Cina. Lihatlah, pemiliknya mengutamakan bahasa Melayu pada papan tanda nama kedainya. Tahniah!

“Pusat Tuisyen Mercu Gemilang” pasti menjadi tarikan pelajar untuk belajar tambahan di sini. Mercu gemilang sudah tentu menjadi harapan bagi semua pelajar. Penggunaan nama pusat ini memang sesuai dan menarik.

Beberapa buah taman perumahan dan nama jalan mempunyai tarikan kerana pemilihan kata yang sesuai. Antaranya, termasuklah Taman Simpang Setia, Taman Simpang Sentosa, Taman Kota Jaya, Susur Simpang, Taman Sg. Mas dan Taman Kaya. Tentulah seronok jika penulis pun tinggal di Taman Kaya. Bagi penulis, pemilihan nama Taman Kaya sangat luas pengertiannya. Penduduk di taman ini tidak semestinya kaya harta benda. Mungkin mereka kaya sopan-santun, kaya budi bahasa dan kaya budi pekerti.

Sehari di Taiping Bandar Bersejarah terasa tidak puas. Banyak tempat lain yang tidak sempat dilawati. Walau bagaimanapun, sebagai makluman kepada pemilik premis perniagaan dan penguasa tempatan, DBP menerbitkan Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media. Kini, panduan tersebut dapat dicapai melalui Laman Sesawang DBP (http://www.dbp.gov.my). Jadi, manfaatkanlah dan jangan sia-siakan teknologi di tangan anda!

Oleh Adnan Abd Jamil