KEDAI KEK MANIS, KAMPUNG LUBUK KATAK

 

Tapah merupakan sebuah bandar dalam daerah Batang Padang, Perak. Salah satu versi asal-usul nama bandar ini berkaitan dengan ikan tapah. Penduduk sekitar  Sungai Batang Padang mengebumikan jenazah di tanah perkuburan di Kampung Datuk. Mereka membawa jenazah menggunakan sampan kerana tanah perkuburan itu berhampiran tebing Sungai Batang Padang.

            Apabila hujan lebat dan air Sungai Batang Padang menaik sehingga menenggelamkan perkuburan itu.  Banyak ikan tapah menyondol tanah kubur untuk mencari mayat yang baru ditanam. Peristiwa ini menimbulkan keanehan dalam kalangan penduduk setempat, lalu menamakan kawasan ini sebagai Tapah

Seperti di tempat lain juga, pemilik beberapa buah premis perniagaan di Tapah keliru dengan kata majmuk “pasar raya”. Antaranya, termasuklah “Pasaraya TF” dan “Pasaraya Kawan”. Kata majmuk pasar raya mesti dieja dua perkataan. Oleh itu, frasa nama yang betul bagi premis ini ialah “Pasar Raya TF” dan “Pasar Raya Kawan”.

Terdapat papan tanda yang menunjukkan arah ke beberapa buah kampung tradisi. Penulis tertarik membaca nama kampung-kampung tersebut, seperti Kampung Lubuk Katak, Kampung Dusun Muda, Kampung Jalan Kachu, Kampung Batu Melintang dan Kampung Sunut. Penulis pasti bahawa ada sejarah yang menyebabkan kampung-kampung tersebut dinamakan sedemikian. Kampung Lubuk Katak mungkin mengambil sempena satu kawasan yang dihuni oleh katak yang banyak semasa kampung tersebut dibuka. Pada kesempatan yang lain, penulis akan menjejak sejarah kampung-kampung tersebut. Sebuah taman perumahan dinamakan Taman Bukit Perdana. Tiada masalah dan menarik juga pemilihan nama taman ini.

“Restoran Khiong Kee”, “Restoran Tong Yoon”, “Restoran Hou Yee” dan “Restoran Chin You Kee” ialah kedai makanan Cina. Sudah pasti pelangannya adalah masyarakat berbangsa Cina. Namun begitu, pemiliknya lebih mengutamakan bahasa Melayu kerana yakin bahawa kaum Cina juga memang memahami bahasa Melayu. Tahniah!

“Pasar Mini Taman Melati” menggunaan Hukum D-M yang tepat pada papan tanda nama kedai. “Butik Pakaian Muslimah” betul daripada segi Hukum D-M. Pemilihan perkataan “butik” sesuai dan menampakkan kelainan. Walau bagaimanapun, perkataan “ground floor” yang terdapat pada bahagian bawah sepatutnya ditulis dalam bahasa Melayu – “tingkat bawah”. Begitu juga dengan “Poliklinik dan Surgeri Cheah”. Nama premis ditulis jelas dan tepat mengikut Hukum D-M dan mudah difahami oleh semua orang.

Pemilik kedai “Perabut Yong Xin” perlu membetulkan ejaan perkataan “perabut” menjadi “perabot”. Perkataan perabot sering disalah eja, bukan sahaja di Tapah, malah di beberapa buah tempat lain juga. Dalam sistem ejaan rumi bahasa Melayu, terdapat beberapa perkataan yang dikecualikan daripada hukum keselarasan vokal. Bagi perkataan perabot, lancong, lakon, calon, dan lapor yang berasal daripada bahasa Jawa, ejaannya dikekalkan.

“Bala Optikal” salah daripada segi Hukum D-M. Ejaan “optikal” juga tidak terdapat dalam Kamus Dewan. Premis ini lebih sesuai dinamai “Kedai Cermin Mata Bala”. Begitu juga dengan “T. Rajan Setor”. Terdapat dua kesalahan di sini. Yang pertama, tidak mengikut Hukum D-M, manakala kesalahan kedua ialah pada ejaan “setor”. Tanda nama  kedai ini hendaklah ditulis “Stor T. Rajan”.

  

“Kedai Kek Manis” memang sesuai bagi nama kedai ini. Kek yang dijual pasti manis, atau mungkin juga pemiliknya bernama Manis. Jika pemiliknya bernama Manis, maka frasa nama kedai ini sangat tepat dan betul mengikut Hukum D-M. Andaian lain, penulis memikirkan bahawa jurujual atau pembantu kedai kek ini manis orangnya!

 “Teratak Satey Ratheenah” membuatkan pengunjung ingin singgah untuk menikmati satenya. Penggunaan perkataan “teratak” memang menarik. Walau bagaimanapun, perkataan “satey” perlu dibetulkan menjadi “sate”. Perkataan “resepi” hendaklah dibetulkan menjadi “resipi”.

 “Warong Kak Ngah” pun menarik juga namanya. Cuma, penulis berharap supaya Kak Ngah membetulkan ejaan “warong” menjadi “warung”.

“Kedai Serbaneka: My One Shop”. Agak mengecewakan apabila penulis melihat papan tanda nama kedai ini. Penulis mencadangkan supaya pemilik kedai ini mencari nama lain yang lebih sesuai dalam bahasa Melayu. Sepatutnya, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Sejenak di pekan Tapah tentulah tidak dapat bagi penulis meneroka banyak tempat. Walau bagaimanapun, penulis menasihatkan pemilik premis perniagaan dan penguasa tempatan supaya merujuk Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media. Panduan tersebut dapat dicapai melalui Laman Sesawang DBP, (http://www.dbp.gov.my). Teknologi maklumat kini di tangan anda. Jadi, manfaatkanlah!

Oleh Adnan Abd Jamil