BANDAR MENARA CONDONG

0 menara condong

Mak Intan seorang ahli perniagaan dan golongan bangsawan yang disegani kerana kekayaan dan kebijaksanaannya. Mengambil sempena nama beliau, kawasan penempatan di Kuala Sungai Perak dinamakan Telok Mak Intan. Pada zaman penjajahan Inggeris, nama Telok Mak Intan ditukarkan kepada Telok Anson, sempena nama General Archibald Anson, Pegawai Daerah Hilir Perak ketika itu. Kemudian, pada 1 Januari 1982, setelah satu abad berlalu, Kerajaan Negeri Perak telah menggantikan nama Telok Anson dengan nama Teluk Intan.

Penulis meninjau sekitar “Bandar Menara Condong” ini sambil merakamkan beberapa kesalahan, kesilapan dan keindahan nama premis perniagaan. “Pusat Refleksologi Manzu”, “Koleksi Pakaian Zella Intan” dan “Pusat Optik Pertama” betul cara penulisannya. Nama dalam bahasa Melayu lebih jelas dan diutamakan daripada bahasa lain.

“Restoran Joo Heng Long” tentulah dimiliki oleh peniaga berbangsa Cina. Masyarakat berbangsa Melayu tentulah tidak akan makan di restoran ini. Sungguhpun begitu, pemiliknya mengutamakan bahasa Melayu pada papan tanda nama kedai, di samping bahasa Cina yang ditulis kecil sedikit di bawahnya. Tahniah!

Pada 16 Ogos 1972, Sistem Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu dilancarkan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Hal ini bermakna sudah 41 tahun Sistem Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu ini dilaksanakan. Menurut sistem ini, huruf “e” pada perkataan “kelinik” hendaklah digugurkan. Sepanjang tempoh tersebut, mengapakah “Somu Kelinik” tidak berusaha untuk menukarkan papan tanda nama premisnya? Selain kesalahan ejaan, nama klinik juga tidak betul mengikut Hukum D-M. Tentulah tidak susah untuk membetulkannya menjadi kata nama standard – “Klinik Somu”.

“Nazirah Centre” menjadi tanda tanya penulis. Jika diterjemahkan menjadi  “Pusat Nazirah”, apakah yang dapat difahamkan? Penulis mencadangkan supaya premis ini dinamakan “Pusat Pengedaran Barangan Kecantikan/Kesihatan Nazirah”. “Butik Leena Collections” pula menggabungkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Pendapat penulis, lebih sesuai jika dinamakan “Butik Koleksi Leena”.

Pemilik premis ini menggunakan tiga bahasa. Walau bagaimanapun, nama dalam bahasa Melayu, “Pusat Cermin Mata” tidak diberikan keutamaan. Yang lebih menonjol ialah nama dalam bahasa Inggeris. Pemilik premis sepatutnya merujuk Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar yang dikeluarkan oleh  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Garis panduan ini menetapkan, setiap papan iklan hendaklah menggunakan sama ada bahasa kebangsaan sahaja atau bahasa kebangsaan  dengan bahasa lain.  Perkataan bahasa Melayu hendaklah diutamakan dari segi saiz, warna dan kedudukan perkataan berbanding bahasa lain.

Iklan ini penulis rakamkan di sebuah restoran. Dalam gelak, ada rasa marah bersarang di hati penulis. Bahasa Melayu diambil mudah dan digunakan sambil lewa. “Makanan Jenis” tidak sesukar mendaki Gunung Kinabalu untuk ditulis sebagai “Jenis-jenis Makanan”. Penulis mengharapkan agar pihak berkuasa tempatan mengenakan tindakan kepada pemilik premis ini.

“Kedai Buku Shan” patut dipuji. Pemiliknya mengutamakan bahasa Melayu yang ditulis jelas dan menonjol, di samping bahasa Cina dan bahasa Tamil. Tahniah!

“Kedai Pelihan Satu” agak pelik apabila diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, “First Choice Shop”. Ejaan “pelihan” tidak terdapat dalam Kamus Dewan.

Pengkalan Teksi & Kereta Sewa”. Sebagai makluman kepada Persatuan Tuan Punya & Pemandu Kereta Sewa Teluk Intan, tidak terdapat perkataan “pengkalan” dalam daftar kata bahasa Melayu. Sesiapa yang berkenaan hendaklah membetulkan ejaan pada papan tanda di perhentian teksi ini – “Pangkalan Teksi & Kereta Sewa”.

Hukum D-M sangat mudah untuk difahami. Dalam bahasa Melayu, unsur yang diterangkan (D) merupakan unsur inti atau kata utama yang harus didahulukan daripada perkara yang menerangkannya (M). Oleh hal yang demikian, frasa “Yee Sang Loong Tukang Jam” melanggar Hukum D-M kerana “tukang jam” sebagai kata utama diletakkan selepas kata penerang. Frasa ini sepatutnya ditulis “Tukang Jam Yee Sang Loong”.

“Yong Huat Store” adalah frasa bahasa Inggeris yang sepatutnya diterjemahkan menjadi “Stor Yong Huat”.

“Kedai Tukang Kunci Lee” sebaik-baiknya lebih ditonjolkan dan ditulis pada bahagian atas, kemudian diikuti bahasa Inggeris dan bahasa lain yang ditulis kecil sedikit.

Kebanyakan premis perniagaan sangat sukar untuk menulis kata majmuk “pasar raya” dengan betul. Di bandar ini, pemilik beberapa buah premis perniagaan melakukan kesalahan pada ejaan kata majmuk tersebut. Antaranya, termasuklah “Pasaraya Ekonomi Intan” dan “Pasaraya Ekonomi Beng Beng”. Pemilik kedua-dua buah pasar raya ini patut mencontohi pemilik “Pasar Raya Ekonomi Yang Yang” yang menulis dengan tepat kata majmuk “pasar raya”.

“Pusat Latihan Kursus Rambut” mengelirukan penulis. Pemilik premis ini dan premis perniagaan lain yang tidak begitu prihatin dan memandang remeh akan penggunaan bahasa Melayu disarankan agar merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP menyediakan Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa untuk para pengguna menanyakan sebarang kemusykilan tentang bahasa, sastera, penerbitan dan korporat. Pertanyaan akan dijawab oleh pemudah cara yang bertugas, iaitu Pegawai Khidmat Nasihat Bahasa dan Pakar Rujuk Bahasa.

Selain itu, DBP menerbitkan Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa dan Siri Lembar Bahasa dapat dicapai melalui Laman Sesawang DBP – (http://www.dbp.gov.my).

Oleh Adnan Abd Jamil