TAMAN BOTANI PULAU PINANG

Pulau Pinang yang terletak di Pantai Barat Semenanjung Malaysia mempunyai keluasan kira-kira 1056 kilometer persegi. Ibu Negeri Pulau Pinang ialah George Town. Pulau Pinang dibahagikan kepada lima daerah utama iaitu Barat Daya (Balik Pulau), Timur Laut (George Town), Seberang Perai Selatan (Nibung Tebal), Seberang Perai Tengah (Bukit Mertajam) dan Seberang Perai Utara (Butterworth). Antara bandar lain yang terdapat di Pulau Pinang termasuklah Perai, Air Itam, Kepala Batas dan Bayan Lepas.

Banyak destinasi pelancongan terdapat di Pulau Pinang. Jika melancong ke Pulau Pinang, berkunjunglah ke tempat-tempat berikut: Pulau Aman, Pulau Jerjak, Batu Feringhi, Taman Burung, Taman Botani, Taman Orkid dan Taman Bunga Raya, Taman Rama-rama dan beberapa tempat lain yang menarik.

Taman Botani Pulau Pinang yang terletak di Jalan Kebun Bunga dikenali juga dengan nama Kebun Bunga Pulau Pinang. Taman ini wujud sejak tahun 1884 di bawah pengawasan seorang pegawai Inggeris bernama Charles Curtis.

Sebagai mengenang jasa Charles, beberapa jenis pokok dinamakan sempena nama beliau. Antaranya, termasuklah Shorea Curtissi (pokok seraya). Pihak Inggeris menggunakan taman ini sebagai tapak semaian pokok yang bernilai komersial, sperti rempah-ratus dan pokok getah.

Taman Botani Pulau Pinang yang terletak berhampiran Bandar Raya Georgetown memainkan peranan sebagai sebuah institusi botani yang penting di Malaysia. Taman yang berkeluasan 29 hektar ini menjadi tempat riadah dan rekreasi awam yang utama di Georgetown.

Selain bersiar-siar sambil menikmati keindahan alam semula jadi, pengunjung turut mengambil kesempatan untuk bersenam kerana udara segar dalam taman ini memang bersih dan bebas daripada pencemaran. Persekitaran taman yang nyaman dan tenteram sesuai juga bagi pencinta seni mendapatkan ilham untuk berkarya, seperti mencipta sajak, mencipta lagu, melukis, atau para pelajar dapat mengulang kaji pelajaran tanpa gangguan.

Kehadiran pelancong yang semakin bertambah menjadikan taman ini dikenal pasti untuk disenaraikan dalam sebuah buku bertajuk “1001 Taman Tercantik di Dunia”. Setiap tahun, banyak perbelanjaan digunakan bagi tujuan penyelenggaraan taman supaya sentiasa kelihatan bersih, terpelihara dan dapat menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara. Dianggarkan, sebanyak 100 ribu pengunjung melawat Taman Botani Pulau Pinang setiap tahun.

Antara tempat yang dapat dilawati dalam taman ini ialah Kolam Lili, Taman Formal, Rumah Pokok Perdana, Denai Hutan Hujan Tropika, Rumah Paku Pakis, Taman Rekreasi Kuari, Pusat Hortikultur, Nurseri, Rumah Kaktus dan Rumah Orkid.

Adnan Jamil