TANJUNG NAMA ASAL PORT DICKSON

1

2

3

Nama Port Dickson mengambil sempena nama pegawai tingggi British, Sir John Frederick Dickson yang bertugas di Negeri-negeri Selat pada akhir abad ke-19. Pada masa itu, orang Melayu menyebutnya sebagai Tanjung, manakala orang Cina dan India tempatan pula menamakan tempat ini sebagai Alang (Arang) kerana di kawasan ini terdapat sebuah pulau yang terkenal dengan pengeluaran arang.

John Frederick Dickson mula nampak akan kepentingan Tanjung untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian. Beliau mewartakan supaya Tanjung dijadikan sebuah pelabuhan yang strategik dan juga menjadikannya sebagai tempat istirehat untuk pegawai dan peladang British. Tanjung mula sibuk dengan aktiviti perdagangan.

Pada tahun 1891, landasan kereta api sepanjang 39 km telah dibina untuk menghubungkan Tanjung dan Sungai Ujong yang sekarang dikenali sebagai Seremban. Akhirnya, pihak British telah menukarkan nama Tanjung menjadi Port Dickson.

4

5

6

7

Kini, Port Dickson lebih terkenal dengan pantainya yang menarik, kemudahan yang mencukupi dan infrastruktur yang baik. Terdapat juga pelbagai jenis penginapan bagi mereka yang ingin bercuti di sini. Antara pantai yang terkenal di sini adalah Teluk Kemang dan Blue Lagoon. Terdapat juga infrastruktur untuk sukan air dan aktiviti pantai. Port Dickson menjadi tempat percutian hujung minggu yang menarik untuk warga kota.

Oleh Adnan Abd Jamil