PEKAN GAJAH JATUH

Changlun adalah sebuah bandar kecil dalam daerah Kubang Pasu. Sempadan Malaysia – Thailand di Bukit kayu Hitam terletak hanya lapan kilometer dari pekan ini. Changlun berasal daripada bahasa Thai yang membawa maksud “gajah jatuh”.

 Kedudukan Changlun cukup strategik kerana ia menjadi laluan utama ke sempadan Malaysia – Thailand di Utara; Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok di timur; Jitra dan Alor Star di selatan dan laluan ke Negeri Perlis Indera Kayangan di sebelah barat.

Kewujudan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang melalui Changlun menjadikan Changlun sebuah pekan kecil yang pesat membangun. Bagi menampung keperluan jumlah penduduk yang semakin meningkat, satu kawasan perumahan dan perniagaan yang diberi nama Pekan Changlun 2 telah diwujudkan. Dalam kepesatan pembangunannya, Pihak Berkuasa Tempatan mungkin terlepas pandang tentang aspek bahasa yang sepatutnya diberikan keutamaan, apatah lagi dengan adanya beberapa buah institusi pendidikan di kawasan yang berhampiran.

1

Kebanyakan papan tanda nama kedai atau premis perniagaan masih mengutamakan bahasa Inggeris. Pemilik kedai-kedai ini – “Zafeera Boutique”, “Naimah Collections” dan “HB Pharmacy” – sepatutnya mengutamakan bahasa Melayu pada papan tanda nama kedai mereka. Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, terrmasuk di Changlun akan faham jika kedai-kedai ini dinamakan “Butik Zafeera”, “Koleksi Naimah” dan “Farmasi HB”.

4 perabut

Encik Hong menggunakan bahasa Melayu pada papan tanda nama kedainya –  “Kedai Perabut Hong”. Walau bagaimanapun, ejaan “perabut” sepatutnya dieja “perabot”. Kekeliruan bagi ejaan perkataan “perabot” sering berlaku, bukan sahaja di Changlun, malah di tempat lain juga. Kekeliruan berlaku kerana kebanyakan orang menggantikan huruf “o” dengan huruf “u” mengikut hukum keselarasan vokal dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu yang dilancarkan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein pada 16 Ogos 1972. Namun begitu, terdapat beberapa perkataan yang dikecualikan daripada hukum tersebut dan ejaannya dikekalkan. Perkataan itu adalah perabot, lancong, lakon, calon, dan lapor. Ejaan bagi papan tanda nama kedai ini perlu dibetulkan menjadi “Kedai Perabot Hong”.

6 pasaraya

Kebanyakan premis perniagaan masih sukar untuk menulis kata majmuk “pasar raya” dengan betul. Di bandar ini, pemilik beberapa buah premis perniagaan, termasuk “Pasaraya C-Mart” dan “Pasaraya Ekonomi Indah Jaya” melakukan kesalahan pada ejaan kata majmuk tersebut. Pemilik kedua-dua buah pasar raya ini hendaklah membetulkan ejaan pada papan tanda nama kedai mereka menjadi  “Pasar Raya C-Mart” dan “Pasar Raya Ekonomi Indah Jaya”.

8b jwtn kosong ing

Penulis ternampak iklan “Jawatan Kosong” yang digantung pada satu tempat. Nama jawatan ditulis sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Sudah pastilah semua jawatan yang diiklankan bukan untuk pengisian tempat di luar negara. Penduduk Changlun tentu faham jika jawatan-jawatan tersebut ditulis dalam bahasa Melayu, iaitu kerani akaun, kerani am, pemandu dan wakil jualan.

 7 semua ing

7b promosi ing

8b yung heng

Terdapat pusat kecantikan muslimah di Changlun – “Muslimah Beauty” yang menyediakan pelbagai rawatan kecantikan. Walau bagaimanapun, nama kedai dan iklan bagi semua jenis rawatan ditulis dalam bahasa Inggeris. Begitu juga dengan sebuah pusat kecantikan lain yang turut mengiklankan promosi rawatan kecantikan dalam bahasa Inggeris. “Yoong Heng Houseware” pun tidak menunjukkan sikap sebagai rakyat Malaysia. Tidak terdapat sepatah perkataan pun bahasa Melayu pada nama kedainya. Para pemilik kedai-kedai ini sepatutnya mengutamakan bahasa Melayu pada nama kedai dan iklan mereka. Mereka sepatutnya sedar dan berbangga kerana bahasa Melayu kini berada pada tangga ke-4 dalam carta penggunaan bahasa di dunia.

8 mama soto flavor

Di sebuah kedai terdapat iklan berikut: “Rakan perniagaan di perlukan”. Kesalahan yang dilakukan ialah kedudukan perkataan “di” yang merupakan imbuhan awalan dan sepatutnya digabungkan dengan kata dasar selepasnya. Jadi, ejaan “di” perlu dirapatkan menjadi “Diperlukan”. Perkataan “di” ditulis berasingan jika berfungsi sebagai kata sendi nama apabila frasa atau kata nama yang mengikutinya menunjukkan tempat, contohnya “di Kuala Lumpur”, “di pejabat” dan sebagainya.

GAMBAR 3, 3a

Tidak semua premis perniagaan di Changlun melakukan kesilapan dan kesalahan pada papan tanda nama kedai mereka. Beberapa buah kedai patut dicontohi kerana mengutamakan bahasa Melayu, di samping bahasa lain. Kedai tersebut ialah “Kedai Emas Shun Heng”, “Kedai Kasut Khong Seng”, “Perniagaan Chun Suan” dan “Pusat Cermin Mata dan Kanta Sentuh Inva”. Nama kedai ditulis betul dan Hukum DM tepat. Tahniah!

Penulis menasihatkan orang ramai, termasuk pemilik premis perniagaan supaya merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam semua urusan kebahasaan. Sebagai makluman, DBP menyediakan Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa untuk para pengguna menanyakan apa-apa sahaja kemusykilan tentang bahasa, sastera, penerbitan dan korporat. Pertanyaan akan dijawab oleh pemudah cara yang bertugas, iaitu Pegawai Khidmat Nasihat Bahasa dan Pakar Rujuk Bahasa.

Selain itu, DBP menerbitkan Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa dan Siri Lembar Bahasa dapat dicapai melalui Laman Sesawang DBP – http://www.dbp.gov.my.

Oleh Adnan Jamil