HUTAN LIPUR KANCHING

Hutan Lipur Kanching, sebuah hutan simpan di negeri Selangor, terletak tujuh kilometer dari Pekan Rawang dan 23 kilometer dari Kuala Lumpur. Kalau dilihat dari luar, hutan simpan ini seperti kebanyakan hutan simpan yang lain juga. Pokok hutan menjulang tinggi, ada anak sungai, ada pondok-pondok rehat, ada kawasan lapang untuk aktiviti riadah keluarga dan ada unggas serta binatang hutan yang menghuninya.

Namun, di sebalik semua itu, ada satu lagi tarikan dan sesuatu yang di luar jangka yang menjadi rahsia hutan ini, iaitu air terjun. Ya, air terjun yang tersembunyi dalam hutan ini memang tidak kelihatan dari luar. Pengunjung terpaksa mendaki bukit untuk sampai ke kawasan air terjun.

Walau bagaimanapun, tidaklah susah untuk mendaki kerana telah tersedia anak tangga yang dibuat khas untuk pengunjung. Beberapa minit mendaki, deruan air terjun menerjah telinga, menandakan pengunjung telah hampir sampai ke kawasan air terjun.

Terdapat tujuh tahap air terjun. Pada tahap pertama, terdapat sebuah kolam yang sesuai untuk keluarga mandi-manda. Begitu juga pada tahap yang lain, terdapat kolam yang menakung air yang sejuk dan menyegarkan. Pada setiap kawasan air terjun, terdapat kawasan untuk didirikan khemah.

Terdapat kemudahan awam yang disediakan, seperti tempat letak kereta, tandas awam dan tempat mandi. Gerai makanan juga terdapat di sini. Hutan Lipur Kanching nampak meriah dan dipenuhi pengunjung, terutama pada hari cuti dan kelepasan am. Pengunjung boleh menggunakan kemudahan awam, seperti bas yang beroperasi dari Kuala Lumpur ke Rawang dan sebaliknya. Hutan Lipur Kanching terletak di tepi jalan, malah tidak perlu merentas hutan berjam-jam lamanya untuk ke destinasi tersebut.

Kawasan perkelahan dan riadah ini bersih dan sentiasa diawasi oleh kakitangan pejabat perhutanan negeri. Para pelajar sering mengadakan aktiviti perkhemahan dan aktiviti lain yang melibatkan kumpulan.

Suasana nyaman, sejuk dan menyegarkan di kawasan air terjun pasti melekakan pengunjung. Tanpa sedar, kunjungan sejak awal pagi akan berlarutan sehingga ke petang.

Oleh Adnan Abd Jamil