TAMAN METROPOLITAN: DESTINASI SANTAI DI PINGGIRAN KOTA

wau 6

wau 7

Taman Metropolitan Kepong seluas 90 hektar merupakan antara taman rekreasi terbesar di Kuala Lumpur yang sering dijadikan tempat beriadah warga kota dan penduduk sekitar seperti Selayang dan Batu Caves. Taman ini dilengkapi trek joging, trek berbasikal, taman permainan kanak-kanak, padang bola sepak, kawasan bersenam dan sebuah padang yang luas untuk permainan layang-layang. Setiap petang Sabtu dan Ahad, taman ini dipenuhi pengunjung yang bersantai bersama-sama keluarga, berkelah, atau bermain layang-layang.

wau 1

wau 8

Tidak sekadar kanak-kanak, tetapi ibu bapa turut bermain layang-layang sambil menemani anak mereka. Pemandangan di taman ini tidak ubah seperti perayaan layang-layang. Ratusan layang-layang pelbagai bentuk, saiz dan warna menghiasi angkasa taman ini. Ada yang berbentuk burung, kapal terbang dan ular. Layang-layang dihiasi ilustrasi yang menarik seperti gambar watak kartun yang diminati oleh kanak-kanak. Kepelbagaian warna yang menghiasi layang-layang sangat cantik apabila berada di ruang angkasa. Para pemain layang-layang berlumba-lumba menaikkan layang-layang setinggi yang boleh. Kepuasan terserlah pada wajah masing-masing sekiranya dapat menaikkan layang-layang melebihi paras layang-layang lain.

Para peniaga turut mempamerkan layang-layang untuk dijual kepada pengunjung. Harga layang-layang serendah RMIO hinggalah mencecah ratusan ringgit. Acara sukan, sukaneka atau hari keluarga sering diadakan di sini kerana persekitaran taman ini sangat sesuai untuk aktiviti yang melibatkan orang ramai.

wau 9

wau 11

Di dalam kawasan taman ini terdapat sebuah tasik yang dimanfaatkan oleh kaki pancing. Di tebing tasik, kaki pancing setia menunggu joran masing-masing disambar ikan. Ada yang bertuah memperoleh ikan, manakala yang tidak memperoleh ikan pun tetap puas dapat menghabiskan masa di taman tasik yang tenang dan damai ini. Pada hari tertentu, misalnya Hari Wilayah Persekutuan, terdapat aktiviti air yang dilangsungkan di sini.

12

Bersenam memang digalakkan untuk menyihatkan badan. Tidak hairanlah jika trek joging sekeliling tasik sentiasa digunakan untuk berjoging atau sekadar berjalan-jalan sambil menghirup udara segar di sini.

wau 4

wau 5

Sebuah menara tinjau setinggi bangunan lima tingkat terdapat di sini. Menara ini sering digunakan oleh pasangan pengantin bagi mengabadikan kenangan melalui penggambaran video atau fotografi. Pertunjukan lagak ngeri dalam filem juga pernah diadakan di sini. Pertunjukan ini menunjukkan aksi seorang pelakon terjun dari menara ke bahagian bawah tanpa mengalami kecederaan. Dari menara tinjau ini juga, dapat disaksikan panorama Kuala Lumpur yang indah.

wau 2

wau 3

Taman Metropolitan terletak di sebelah kiri, berhampiran Jalan Lingkaran Tengah II jika dalam perjalanan dari Selayang atau Batu Caves menuju ke Kepong. Banyak warga kota yang membawa keluarga masing-masing untuk bersantai di sini pada hari cuti. Di sinilah tempat berehat yang paling hampir (lebih kurang 20 kilometer dari Kuala Lumpur) yang tidak memerlukan masa perjalanan yang panjang untuk menghabiskan masa bersama-sama keluarga.

Anda yang berniat untuk datang ke Taman Metropolitan dinasihatkan supaya datang awal pada hari cuti hujung minggu atau hari kelepasan am. Jika lewat, anda tidak dapat meletak kenderaan kerana kawasan tempat letak kereta pasti akan penuh. Banyak juga pengunjung yang meletakkan kereta di tepi Jalan Lingkaran Tengah 11. Jika dapat, elakkan berbuat demikian kerana anda mungkin disaman oleh pihak berkuasa tempatan kerana meletakkan kereta di kawasan yang tidak dibenarkan. Seperkara lagi, meletakkan kenderaan di tepi jalan akan mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan yang banyak menggunakan jalan ini.

Oleh Adnan Abd Jamil