BAHASA JALAN TAR

0

Jalan Tuanku Abdul Rahman, KualaLumpur atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan, malah turut menjadi sebutan dan dikenali oleh pelancong luar negara. Di sini, terdapat pusat  beli-belah lama dan baharu yang menjadi tumpuan orang ramai, terutama menjelang musim perayaan dan musim persekolahan. Pelbagai barangan terdapat di sini, termasuklah pakaian, barangan kemas, perhiasan, perabot dan barangan keperluan rumah.

Jalan TAR dahulu dikenali sebagai Batu Road dan wujud menjelang akhir abad ke-19. Lokasi Jalan TAR bermula dari persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja iaitu berdekatan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hingga ke persimpangan  bulatan Jalan Pahang dan Jalan lpoh. Pertukaran nama Batu Road kepada Jalan Tuanku  Abdul  Rahman dibuat  pada awal tahun 1970-an mengambil  sempena nama Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang pertama.

0a

Deretan kedai perniagaan beroperasi dalam bangunan lama yang berelemen klasik Eropah, terutamanya Greek dan Rom yang dibina pada awal tahun 1900. Antara yang terkenal termasuklah G.S. Gill, Globe Silk Store dan Kamdar. Nama Batu Road pula diabadikan pada sebuah  bangunan sekolah, iaitu Sekolah Jalan Batu.

1

Sambil membeli-belah, penulis sempat merakamkan bahasa yang digunakan pada papan tanda nama premis perniagaan di Jalan TAR. Oleh sebab bangunan di sini dibina lama dahulu, maka “Kelinik Kulit Sachdev” menggunakan ejaan lama juga. Klinik ini tentunya didaftarkan sebelum ejaan rumi baharu dilaksanakan. Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu dilancarkan di Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein pada 16 Ogos 1972. Menurut sistem ini, huruf “e” pada perkataan “kelinik” hendaklah digugurkan. Tentulah menjadi persoalan, setelah lebih 41 tahun Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu ini dilaksanakan, Sachdev tidak mengambil inisiatif bagi menukarkan ejaan pada papan tanda nama tersebut kepada ejaan standard, iaitu “Klinik Kulit Sachdev”.

2

Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa kebangsaan negara. Namun, masih terdapat pemilik premis perniagaan di Jalan TAR menggunakan bahasa Inggeris pada papan tanda nama kedai mereka. Antaranya, termasuklah “Shalani Carpets” “Baryalt Carpets” dan “Ali Carpets”. Ejaan carpet dalam bahasa Melayu ialah karpet.

3

Para pemilik kedai yang menjual pakaian nampaknya lebih gemar menggunakan perkataan bahasa Inggeris, collection, pada nama kedai mereka. Perkataan tersebut hendaklah ditukarkan kepada bahasa Melayu, koleksi. Antara kedai tersebut ialah “Harmain Collection”, “E. One Collection”, “K. Siti Collection” dan “Gaya Warisan Collection”.

4

5

Beberapa buah kedai yang lain turut melakukan hal yang sama. “Kedai Tekstil 12 Collection” hendaklah digantikan dengan “Kedai Tekstil Koleksi 12”, “TRG Batik Gallery” sepatutnya dinamakan “Galeri Batik TRG”, “Butik Bawal Exclusive” hendaklah ditulis sebagai “Butik Eksklusif Bawal”, “Faisal Textile” digantikan dengan “Tekstil Faisal”, “Muslim Wear” ditukar kepada “Pakaian Muslim” dan “Aria Fashion” digantikan dengan “Fesyen Aria”.

6

Masih banyak pemilik premis yang berbangga dengan bahasa Inggeris. Iklan pada kain rentang di kedai mereka menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya – factory outlet, year end sale, renovation sale, stock clearance dan fresh fruit. Para pemilik kedai-kedai ini sepatutnya mengutamakan bahasa Melayu pada nama kedai dan iklan mereka.

7

Hukum D-M mudah untuk difahami. Dalam bahasa Melayu, unsur yang diterangkan (D) merupakan unsur inti atau kata utama yang harus didahulukan daripada perkara yang menerangkannya (M). Bagi nama hotel, perkataan hotel merupakan kata utama yang perlu ditulis di hadapan. Hotel-hotel berikut betul namanya mengikut Hukum D-M – “Hotel Noble”, “Hotel Selesa Inn” dan “Hotel Lotus”. Sebaliknya, hotel-hotel lain – “Tune Hotel”, “Primiera Hotel” dan “Frenz Hotel” – terpengaruh dengan cara penulisan bahasa Inggeris. Hukum D-M salah kerana unsur yang menerangkan (M) diletakkan di hadapan.

8

Penulis terpandang iklan pada sebuah bangunan seperti yang berikut: “Untuk Di Sewa”. Kesalahan yang dilakukan ialah kedudukan perkataan “di” yang merupakan imbuhan awalan dan sepatutnya digabungkan dengan kata dasar selepasnya. Jadi, ejaan “di” perlu dirapatkan menjadi “Disewa”. Perkataan “di” ditulis berasingan jika berfungsi sebagai kata sendi nama apabila frasa atau kata nama yang mengikutinya menunjukkan tempat, contohnya “di Jalan TAR”, “di kampung” dan sebagainya.

9

“Perabut dan Lampu Hiasan Da Vinci” – ejaan “perabut” sepatutnya dieja “perabot”. Kekeliruan ejaan berlaku kerana kebanyakan pengguna bahasa Melayu menggantikan huruf “o” dengan huruf “u”. Hal ini dianggap betul apabila pengguna mengikut hukum keselarasan vokal dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu yang dilancarkan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein pada 16 Ogos 1972. Namun begitu, hukum tersebut mengekalkan ejaan beberapa perkataan termasuk perabot, lancong, lakon, calon, dan lapor.

10

Nasi kandar banyak penggemarnya. Jika penat berjalan membeli-belah di Jalan TAR, singgahlah di “Restoran Hanifa”. Pemilik restoran ini menulis betul nama restorannya mengikut Hukum D-M. Tetapi, pemilik “Zam Zam Restaurant” menggunakan cara penulisan bahasa Inggeris. Dia sepatutnya mencontohi “Restoran Hanifa”.

11

“Roshni Bazaar” dan “S. J. N Bazaar” pun perlu menukarkan nama papan tanda kedai menjadi “Bazar Roshni” dan “Bazar S. J. N”. Perkataan blouse hendaklah ditulis “blaus”.

12

Akibat kurang teliti, terdapat kesalahan ejaan pada nama beberapa buah kedai. “Gedung Tekstail” sepatutnya “Gedung Tekstil”, “Aked Pesona” sepatutnya “Arked Pesona” dan ejaan “sampin” yang betul ialah “samping”.

13

Penulis terpandang tulisan pada kedai “C K Rahim”. Papan tanda nama kedainya bertulis “Pusat Hiasan Wanita”. Sebaik-baiknya, lebih tepat jika tulisan tersebut ditukarkan menjadi “Pusat Perhiasan Wanita”.

Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak pernah sunyi daripada pengunjung yang terpesona dengan kepelbagaian jenis barangan keperluan. Pada masa yang sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu memantau dan memastikan premis perniagaan di Jalan TAR menggunakan bahasa Melayu standard pada papan tanda nama kedai mereka. Pelancong luar pasti akan lebih menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa yang tersenarai dalam sepuluh bahasa paling banyak penuturnya daripada hampir tujuh ribu bahasa di dunia.

DBP menyediakan Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa untuk para pengguna menanyakan sebarang kemusykilan tentang bahasa, sastera, penerbitan dan korporat. Pertanyaan akan dijawab oleh pemudah cara yang bertugas, iaitu Pegawai Khidmat Nasihat Bahasa dan Pakar Rujuk Bahasa.

Selain itu, DBP menerbitkan Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa dan Siri Lembar Bahasa dapat dicapai melalui Laman Web DBP – (http://www.dbp.gov.my).

Oleh Adnan Abd Jamil