KEDAI KOPI JALAN BESAR

Kuantan, ibu negeri Pahang merupakan pintu masuk ke pantai timur bagi pengunjung  dari arah Kuala Lumpur dan selatan. Sebelum Kuantan, pusat pentadbiran negeri Pahang ialah Kuala Lipis. Sistem berkerajaan tempatan mula dilaksanakan di Kuantan pada 1 Ogos 1913 dengan penubuhan Kuantan Sanitary Board yang bertanggungjawab terhadap kawalan kebersihan, kesihatan dan kawalan pembangunan.

Pada 1 September 1979, Majlis Bandaran Kuantan dinaiktarafkan kepada Majlis Perbandaran Kuantan berasaskan Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) yang kekal hingga ke hari ini. Sepanjang tahun 1990-an, Kuantan menyaksikan perkembangan pesat apabila banyak pusat komersial dibina di tengah Bandar. Kuantan yang dahulunya merupakan sebuah bandar yang damai, kini semakin sibuk. Beberapa kilang petrokimia gergasi telah dibuka di Gebeng, menandakan pertumbuhan berterusan dalam sektor industri.

Suasana metropolitan di bandar Kuantan kian jelas dengan pembukaan pusat membeli-belah yang besar dan premis-premis bercita rasa dan kelas tinggi sejak akhir-akhir ini. Walaupun pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) belum mengumumkan sebarang sasaran secara rasmi, ramai penduduk menjangkakan Kuantan akan diisytiharkan sebagai sebuah bandar raya dalam tempoh beberapa tahun terdekat.

Penulis yang berkesempatan mengunjungi Kuantan baru-baru ini mengambil peluang meninjau persekitaran bandar untuk memerhatikan aspek kebahasaan pada premis perniagaan.

1

“Kedai Kopi Jalan Besar” terpampang pada sebuah kedai minuman. Memang sesuai nama yang diberikan kerana kedai minuman ini memang terletak berhampiran jalan utama. Ada tulisan kecil dalam bahasa Cina pada papan tanda nama kedai itu. Pastilah pemiliknya berbangsa Cina, tetapi dia tetap mengutamakan bahasa Melayu.

2

“Restoran Selera Padang” jelas dan pasti menarik pengunjung yang gemarkan makanan ala Padang, Indonesia.  Tiada masalah penggunaan bahasa pada kedai ini. Hukum D-M yang digunakan tepat dan betul.

3

Ada sebuah restoran yang menarik perhatian penulis. Perkataan tomyam yang tertulis pada papan tanda nama kedai bagaikan melambai-lambai penulis memasukinya. Memang, penulis suka masakan tomyam. Yang ingin penulis nyatakan di sini ialah tentang nama restoran, iaitu “Restoran Hafizan Tom Yam”. Ejaan “tom yam” yang tepat ialah “tomyam”. Nama kedai ini betul jika ia dimiliki oleh Hafizan Tomyam, yakni Hafizan yang diberikan gelaran “tomyam”. Sebaliknya, jika Hafizan ialah pemilik yang menyediakan dan menjual masakan tomyam di restorannya, maka nama restoran ini tidak tepat. Yang lebih tepat ialah “Restoran Tomyam Hafizan”.

4

Kaum wanita yang hendak membeli barang kemas, dipersilakan ke “Kedai Emas Sri Aini”. Pasti anda juga akan berseri-seri dihiasi emas permata. Walau bagaimanapun, perkataan “sri” tidak terdapat dalam daftar kata bahasa Melayu dan tidak dijadikan entri dalam Kamus Dewan. Ejaan yang betul ialah “seri”.

5

6

“Farmasi Kuantan” dan “Hotel Sentral” betul cara penulisannya mengikut Hukum D-M. Kata nama yang diterangkan (D), iaitu Farmasi dan Hotel berada di hadapan kata yang menerangkan (M), iaitu Kuantan dan Sentral.

8

9

10

Tiga buah kedai menjual kain – “Jameel Maju Textiles” “Sinar Maju Textile” dan “Iswara Textile” dinasihatkan supaya menukarkan perkataan textile kepada ejaan dalam bahasa Melayu, iaitu tekstil. Tekstil ialah kata serapan daripada bahasa Inggeris yang telah diterima dan dimasukkan sebagai entri dalam Kamus Dewan edisi keempat. Perkataan yang ditukarkan itu hendaklah ditulis di hadapan seperti yang berikut: “Tekstil Jameel Maju”, Tekstil Sinar Maju” dan “Tekstil Iswara”.

11

Pemilik “Kedai Serbaneka: P. R. Sundram Store” ada usaha dan rasa hormat kepada bahasa kebangsaan apabila mengutamakan bahasa Melayu pada kedainya. Cuma, perkataan store sahaja yang perlu dibetulkan ejaannya. Nama kedai yang baharu dibetulkan ejaannya ialah “Kedai Serbaneka: Stor P. R. Sundram”.

12

Sebuah kedai menjual alat-alat perhiasan dinamakan “Pusat Perhiasan Zaman Moden”. Menarik juga nama kedainya.

13

Kedai “Perabot MH” patut dipuji kerana mengeja betul perkataan perabot. Perkataan ini sering menjadi masalah kepada pengguna bahasa Melayu yang tidak peka dengan hukum keselarasan vokal dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu. Huruf “o” sering ditukar dengan huruf “u” kerana mengikut hukum keselarasan vokal dalam sistem tersebut. Tetapi, Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu yang dilancarkan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein pada 16 Ogos 1972 itu mengekalkan ejaan beberapa patah perkataan. Perkataan itu ialah perabot, lancong, lakon, calon, dan lapor.

14

“Pakar Ekzos: Pulau Manis Workshop”. Sekali imbas, tiada masalah pada nama kedai ini. Semua pelanggan dapat berurusan dengan mudah kerana di sini terdapat pakar yang diperlukan. Sungguhpun begitu, pemilik kedai perlulah menukarkan perkataan dalam bahasa Inggeris, workshop, supaya nama kedai lebih sedap dan selesa disebut – “Pakar Ekzos: Bengkel Pulau Manis”.

15

Penulis terpandang iklan ini – “Kek Cup50¢”. Bagaimanakah agaknya rupa “kek cup” itu? Dalam Kamus Dewan, terdapat tiga makna yang menerangkan tentang perkataan “cup”, tetapi satu pun tidak melambangkan atau tidak ada kena-mengena dengan kek. Jelaslah bahawa iklan itu sebenarnya iklan kek cawan (cup cake) yang lebih mudah jika diiklankan begini: “Kek Cawan 50¢”.

16

“Istanbul Scarf: Pemborong dan Runcit Tudung”. Premis yang menjual tudung ini sepatutnya ditulis begini: “Skarf Istanbul: Pemborong dan Peruncit Tudung”.

17

Satu papan tanda arah kelihatan jelas menunjukkan arah, nama tempat dan jarak jauh ke tempat tersebut. Antara tempat yang terpampang pada papan tanda arah itu ialah “Bandar Di Raja Pekan”. Perkataan “Di Raja” salah cara penulisannya kerana dieja dua perkataan. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu membetulkannya menjadi “Bandar Diraja Pekan”.

Pemilik premis perniagaan dan orang ramai yang masih keliru dengan penggunaan bahasa Melayu dinasihatkan supaya merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam semua urusan kebahasaan. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa disediakan bagi para pengguna menanyakan kemusykilan tentang bahasa, sastera, penerbitan dan korporat. DBP juga menerbitkan Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa dan Siri Lembar Bahasa dapat dicapai melalui Laman Web DBP – http://www.dbp.gov.my.

Oleh Adnan Abd Jamil