ATI-ATI

 Ati-ati bukan sahaja cantik ditanam dalam pasu, malah kelihatan cantik berseri jika ditanam di halaman rumah. Ada pemilik rumah menanamnya di tepi pagar untuk menjadikannya sebagai pagar rumah yang cantik kerana kombinasi warna pokoknya yang cantik. Antara kombinasi warna daun pokok ati-ati ialah hijau bercampur ungu dan merah jambu bercampur hijau. Nama saintifik bagi pokok ati-ati ialah Coleus blumei dan tergolong dalam keluarga Labiatae.ati-ati 2

Daunnya berbentuk bujur sirih dan pokok ini dapat tumbuh sehingga tiga meter. Batangnya bersegi, berwarna hijau. Pokok ati-ati tumbuh dengan senang dalam iklim di Malaysia. Di negara lain, ati-ati hidup subur di Afrika, India, Australia, Kepulauan Fiji, Maluku dan Filipina. Pokok ati-ati hidup subur di bawah cahaya matahari yang sederhana.

Sejambak bunga kecil akan keluar pada pokok yang matang. Setelah berbunga, ati-ati tidak mengeluarkan pucuk baharu. Sebab itulah dahan perlu dipangkas untuk pertumbuhan dahan yang baharu. Proses ini juga akan merimbunkan pokok. Oleh itu, selepas berbunga, disyorkan dahan bunganya dipangkas bagi menggalakkan pertumbuhan daun baharu. Pokok tua yang susah untuk digubah atau dibentuk berikutan serlahan warna daun semakin pucat boleh dijadikan baka untuk semaian pokok baharu dengan penanaman semula menggunakan batang.

ati-ati 1

Selain cantik di halaman, ati-ati dapat juga dijadikan bahan perubatan. Bagi melegakan batuk, kisar daun dengan air masak, tapis dan minum dua kali sehari. Bagi penghidap penyakit asma, hancurkan daun ati-ati bersama-sama kapur sirih dan sapu pada dada. Cara lain ialah dengan merebus beberapa helai daun ati-ati dengan dua cawan air. Setelah air rebusan tinggal secawan, campurkan sedikit gula batu, sejukkan dan minum pada waktu pagi.

Daun yang dihancurkan juga dapat menyembuhkan luka. Bagi wanita yang baru bersalin, khasiat daun ini dapat membantu dalam proses pengecutan rahim. Caranya, rebus daun ati-ati bersama-sama daun jambu batu, daun inai dan akar tutup bumi. Air rebusan ini diminum setiap pagi dan malam. Bagi penghidap penyakit darah tinggi, rebus daun ati-ati selama enam jam dan amalkan meminum air rebusan itu setiap hari.