BUNGA TANJUNG

bunga tanjung 1

Pokok tanjung rendang dan sesuai dijadikan pohon peneduh. Walaupun pokok tanjung tumbuh tinggi dan berbatang besar, tetapi melalui kaedah tut dan cantasan, pokok ini dapat ditanam di dalam pasu dan menjadi penyeri halaman rumah. Bunga tanjung akan menjadikan halaman rumah berbau wangi. Akibat bau wangi bunga tanjung inilah pokok ini sering dikaitkan dengan hantu. Bau wangi itu dikatakan datang daripada hantu yang menghuni pokok tanjung.

bunga tanjung 3

Pokok tanjung juga dikenali dengan nama saintifik Mimusops elengi dan digolongkan dalam keluarga Sapotaceae. Daun tanjung berwarna hijau tua dan berkilat pada permukaannya, manakala buahnya yang berbentuk bujur berwarna hijau sewaktu muda dan berwarna jingga setelah masak. Buah tanjung boleh dimakan. Rasanya manis. Pokok tanjung boleh ditanam melalui keratan batang dan biji benih.

Masyarakat Melayu dahulu menggunakan bunga tanjung sebagai hiasan rambut. Pucuk daun tanjung boleh dijadikan ulam dan rasanya lemak. Orang tua-tua dahulu percaya bahawa pucuk tanjung dapat menjadikan wanita awet muda, selain mengecutkan rahim selepas bersalin. Dikatakan juga pucuk ini digunakan sebagai bahan perubatan bagi menjarakkan kelahiran anak.bunga tanjung 2

Terdapat beberapa kegunaan perubatan yang diperoleh daripada pokok tanjung. Jika sakit gigi, kumurlah air rebusan kulit pokok tanjung. Berkumur dengan air rebusan ini juga dikatakan dapat mewangikan mulut. Luka juga akan cepat sembuh sekiranya dicuci dengan air rebusan ini. Bunga tanjung pula dapat menghilangkan ruam panas. Bunga ini direbus bersama-sama jintan hitam dan air rebusannya digunakan untuk mandi.