CEMPAKA dan BUNGA MATAHARI

 cempaka 2

Cempaka berbau wangi. Cantik terserlah putih menawan menjadikan bunga ini bunga pilihan sejak dahulu. Ada ibu bapa zaman dahulu yang menamakan anak mereka dengan nama Cempaka. Bunga cempaka turut digunakan dalam pantun, sajak atau gurindam. Nama saintifik bunga cempaka ialah Michelia alba dan tergolong dalam keluarga Magnoliaceae.

cempaka 4cempaka 1

Bunga cempaka berbentuk bujur dan berkelopak apabila kembang. Saiz bunga sekitar empat sentimeter. Terdapat beberapa jenis pokok cempaka seperti cempaka hutan, cempaka telur dan cempaka keling. Pokok berbatang keras ini akan tumbuh sehingga mencapai ketinggian 30 meter. Jika tinggi begini, ia dapat dijadikan pohon peneduh.

Batang pokok cempaka yang keras sangat sesuai dijadikan perabot. Walau bagaimanapun, melalui kaedah cantasan, pokok cempaka akan tumbuh dengan cantik jika ditanam dalam pasu atau halaman rumah. Pokok cempaka berbunga putih sering ditanam berbanding dengan pokok yang berbunga kuning dan merah. Daun pokok ini licin pada permukaannya. Selain bunga, buah cempaka boleh dimakan.

cempaka 3

Cempaka bukan sahaja cantik dan wangi, malah berguna untuk tujuan kesihatan. Bunga cempaka putih yang direbus dan diminum airnya dapat mengelakkan penyakit pitam. Untuk mengecutkan bisul, beberapa helai daun ditumbuk hingga lumat, kemudian ditepek pada bisul. Cempaka kuning berkhasiat bagi memulihkan tenaga wanita selepas bersalin. Caranya adalah dengan meminum air rebusan daunnya. Air rebusan bunga pula berkesan bagi melawaskan kencing. Meminum air rebusan akar pula dapat melegakan demam selesema. Dalam bidang kecantikan, bunga cempaka yang digunakan sewaktu mandi bunga dikatakan dapat melembutkan kulit dan mewangikan badan.