INAI

  INAI 4

Inai merupakan tumbuhan renek yang mempunyai ranting dan daun yang banyak. Daun inai muda berwarna hijau terang dan berubah menjadi hijau gelap setelah matang dan mempunyai bintik-bintik hitam di permukaan daun. Bintik hitam itu dikatakan dapat menentukan tahap kemerahan sewaktu inai disapukan pada kuku atau bahagian badan yang lain.

INAI 2

Pokok ini dikenali juga dengan nama hena. Dalam bahasa Arab, “hena” bermaksud ubat. Nama saintifiknya ialah Lawsonia inermis dan tergolong dalam keluarga Lythraceae. Di Indonesia, inai dikenali dengan nama pacar Jawa. Inai digunakan secara meluas sewaktu musim perkahwinan. Selain memerahkan kuku pengantin, inai juga mempunyai khasiat perubatan yang tidak banyak orang mengetahuinya.

INAI

Meminum air rebusan daun inai dapat mengubati sakit perut. Daun inai yang ditumbuk lumat dan disapu pada luka dapat menghentikan pendarahan. Luka dan tempat pembedahan cepat sembuh jika diamalkan memakan tujuh helai daun inai pada waktu pagi dan tujuh helai pada waktu petang. Muka yang kelihatan pucat selepas bersalin akan berseri semula dengan meminum air rebusan daun inai tiga kali seminggu. Bayi yang baru dilahirkan biasanya akan mudah dijangkiti penyakit kuning.

INAI 3

 

Untuk melegakan penyakit kuning dengan cepat, campurkan daun inai dan ramas dalam air mandian bayi. Akar pokok inai pun berguna. Sapukan air akar pada bisul untuk mempercepatkan proses penyembuhan. Air akar akan diperoleh dengan cara menggosok akar pada benda yang kasar seperti bahagian bawah pasu. Masyarakat India percaya bahawa air inai dapat menjadi penyegar untuk mengecutkan tisu-tisu badan dan mengurangkan pendarahan. Mereka juga percaya bahawa amalan berkumur air inai dapat menghindari sakit tekak.

Kulit pokok inai dapat merawat penyakit jaundis dan bengkak hati. Bunga pokok inai pula dipercayai dapat merawat sakit kepala yang disebabkan cuaca panas. Caranya adalah dengan meletakkan bunga inai yang telah dicampurkan dengan cuka pada sekeliling kepala. Batu karang dapat dipecahkan tanpa pembedahan. Campurkan daun inai ke dalam air kelapa dan masukkan sedikit ibu garam. Amalkan meminum air tersebut. Insya-Allah batu karang akan dihakis sedikit demi sedikit.