KACIP FATIMAH

 kacip fatimah 2

Kacip fatimah atau nama saintifiknya Labisia pumila tergolong dalam keluarga Myrsinaceae. Tumbuhan liar ini banyak dijumpai di hutan hujan tropika. Sekurang-kurangnya terdapat tiga spesies pokok kacip fatimah yang dijumpai di Malaysia. Pokok kacip Fatimah senang dibiakkan melalui keratin akar dan biji benih. Kini, pokok ini ditanam secara komersial dan dijadikan tonik untuk minuman kesihatan.

kacip fatimah 1

 

Pokok kacip fatimah sering dikaitkan dengan kesihatan wanita. Kacip fatimah dikatakan sangat berkhasiat bagi mempercepat proses kelahiran bayi dan dapat memulihkan tenaga wanita serta membantu mengecutkan rahim selepas bersalin iaitu dengan meminum air rebusan daun dan akarnya. Amalan meminum air rebusan kacip fatimah dapat melangsingkan badan. Selain itu, kacip fatimah juga dikatakan dapat merangsang pengeluaran hormon bagi melancarkan kitaran haid dan dapat mengurangkan penyakit senggugut.

Walaupun sering dikaitkan dengan wanita, kacip Fatimah sebenarnya boleh digunakan oleh kaum lelaki juga. Air rebusan akar kacip Fatimah dapat membantu mengubat penyakit buasir. Ia juga boleh digunakan untuk merawat cirit-birit, sakit sendi dan gonorea. Khasiat lain kacip fatimah adalah membantu mencegah pembiakan sel kanser. Oleh itu, minuman yang mengandungi ekstrak kacip fatimah boleh diminum oleh lelaki dan wanita, tua atau muda tanpa memudaratkan kesihatan.