CINTA MANIS KELUARGA KITA

Menurut  Kamus  Dewan,  rawang  bermaksud  hutan  yang  berpaya-paya. Rawang juga merupakan sejenis pokok palma. Kedua-dua maksud itu memungkinkan asal kemunculan nama petempatan yang kini dikenali sebagai Rawang.

Melalui jalan lama, penulis berpeluang menyaksikan kehijauan hutan simpan yang masih terpelihara di kawasan Hutan Lipur  Kanching.

Tidak jauh dari hutan lipur itu, saya nampak papan tanda “Taman Rimba Komenwel”. Di pintu masuk taman rimba dan di atas bukit di situ terdapat pula nama “Taman Rimba Komanwel”. Ada dua ejaan yang berbeza – Komenwel dan Komanwel. Sudah pastilah nama pada papan tanda yang kedua itu yang betul. Taman Rimba Komanwel diwartakan bersempena Persidangan Perhutanan Komanwel ke-14 di Kuala Lumpur pada tahun 1993. Persoalannya, mengapakah kesilapan itu tidak dibetulkan?

Di bandar Rawang, pembangunan makin pesat. Banyak kedai dan gedung perniagaan yang didirikan. Penulis tertarik melihat sebuah kedai makanan yang diberi nama “Restoran Keluarga Kita”. Mungkin pemilik kedai menganggap bahawa pelanggan yang singgah di kedainya seperti keluarga. Di sebuah tempat yang lain pula, ada “Restoran Cinta Manis”. lndah sekali penggunaan nama kedua-dua buah kedai makanan itu!

“Restoran  Tegas  Maju” ialah sebuah restoran makanan Cina. Pemilik kedai ini menggunakan bahasa Melayu dengan pemilihan perkataan yang sangat menarik. Tegas mungkin melambangkan sifat pemiliknya yang tegas serta yakin bahawa restorannya maju.

Masakan kampung memang menyelerakan, terutama bagi mereka yang telah lama tinggal di bandar.   “Restoran Sri Abang” mungkin memenuhi  selera anda. Sedap penggunaan nama restoran ini dan masakannya pasti sedap juga. Cuma, perkataan “sri” sepatutnya dieja “seri”.

Masih terdapat penggunaan bahasa Inggeris yang kadangkala melucukan juga. Sebuah kedai makanan Cina dinamai “Restoran Try To  Eat”. Jika diterjemahkan, try to eat akan menjadi “mencuba untuk makan”. Apalah agaknya yang boleh “dicuba untuk makan”?

Sebuah kedai makanan India pula diberi nama “Restoran Rawang Spice House”. Jika diterjemahkan, namanya akan menjadi “Restoran Rumah Rempah Rawang”. Menarik juga bunyinya! Sebuah lagi restoran Cina dinamai “Restoran Rawang Steam Fish”. Nampaknya kedua-dua buah kedai makanan ini menggunakan perkataan bahasa Melayu bagi “restoran” dan dicampurkan dengan bahasa Inggeris di belakangnya. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu memang difahami oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Lebih baiklah nama restoran tersebut menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Taman perumahan makin banyak dibangunkan. Penulis seronok membaca papan tanda nama taman perumahan, seperti Taman Desa Mas, Taman Pelangi, Taman Bayu Permai, Taman Pinggiran Pelangi, Kampung Kenanga, Taman Rawang Perdana, Kota Bidari dan Desa Mutiara. Sebuah sekolah dinamai Sekolah Kebangsaan Setia Budi. Sesungguhnya, banyak perkataan dalam bahasa Melayu yang indah dan sedap sebutannya untuk digunakan sebagai nama tempat, jalan, sekolah dan sebagainya.

Dalam keseronokan menghayati nama taman perumahan yang indah dan mempesonakan itu, hati tergores sewaktu ternampak nama taman perumahan  yang masih berbahasa Inggeris. Antaranya, termasuklah “Puteri Height”, “Emerald East”, “Emerald West” dan “Bandar Country Homes”.

Di stor simpanan TNB Rawang, penulis terlihat papan tanda penerangan yang bertulis “stesen ini telah bertugas tanpa kemalangan selama  ….” Ayat ini pelik bunyinya. Adakah stesen boleh bertugas? Stesen ini menjadi pelaku yang menjalankan  tugas, seperti  manusia. Penulis  tidak  pasti   tentang   kenyataan yang hendak disampaikan. Kenyataan tersebut  mungkin  tentang  kemalangan yang melibatkan elektrik yang tidak berlaku di tempat tersebut dalam tempoh tertentu. Jika demikian, ayat tersebut sepatutnya ditulis “tiada kemalangan yang direkodkan di stesen ini dalam  tempoh …”. Ayat ini boleh  juga ditulis “para petugas  di stesen ini tidak merekodkan  sebarang kemalangan yang berlaku sejak …”. Lihatlah, sedikit kesilapan menulis ayat akan menjadikan maknanya berbeza sama sekali!

Sekeping gegantung mempromosikan sebuah premis yang akan dibuka di Rawang.  Tulisan pada gegantung itu berbunyi “… akan di buka …”. Sungguhpun iklan tersebut dapat menarik perhatian, tetapi terdapat kesalahan ejaan pada iklan itu. Perkataan “di buka” salah kerana “di” pada frasa dalam iklan ini adalah imbuhan awalan yang sepatutnya digabungkan dengan kata dasar selepasnya. Oleh hal yang demikian, ejaan “di” dan “buka” perlu dirapatkan menjadi “dibuka”.

“Kedai Kasut Soon Huat”. Nama kedai ini ditulis dalam bahasa Melayu yang terang dan jelas. Sungguhpun pemiliknya berbangsa Cina, namun dia dapat menggunakan bahasa Melayu dengan tepat dan betul. Pemilik “Pasar Raya AV Star” ini juga patut diberikan pujian. Dia bukan sahaja dapat menggunakan hukum DM dengan betul, tetapi turut menulis kata majmuk “pasar raya” dengan tepat.

“Stesen bas” ialah tempat orang ramai mendapatkan perkhidmatan bas. Di Rawang, sebuah “terminal bas” disediakan bagi tujuan ini. Penggunaan perkataan “terminal” bagi menggantikan perkataan “stesen”  merupakan satu  langkah  yang bijak dalam mempelbagaikan kata nama tempat. Sayangnya, perkataan “taxi” pula yang mencacatkan papan tanda ini. Sepatutnya papan tanda arah ini ditulis “TerminaI bas dan teksi Rawang”.

Penulis sangat terkilan apabila membaca nama kedai ini – “Selvaa Kedai Gunting Rambut”. Rasanya tidaklah susah untuk menulis ayat ini dengan betul susunan frasanya, walaupun tidak memahami hukum DM. Yang hendak diterangkan ialah kedai (D) dan Selvaa ialah pemilik kedai itu (M). Jadi, gabungkan sahaja supaya menjadi “Kedai Gunting Rambut Selvaa”. Sungguh senang, bukan?

Walaupun kedai makanan Pak Ngah Hilmi menghidangkan makanan Barat, tidak salah jika dia menggunakan bahasa Melayu bagi nama premis perniagaannya. Penduduk di Rawang yang pelbagai kaum tentu lebih memahami jika Pak Ngah menamakan kedainya “Stik Kambing Panggang Pak Ngah Hilmi”.

Demikianlah  antara  kecantikan, keindahan serta kecacatan penggunaan  bahasa Melayu yang dapat diperhatikan ketika penulis berada di Rawang. Pihak berkuasa tempatan sepatutnya peka dan perlu memberikan  perhatian  terhadap  penggunaan nama tempat dalam bahasa lnggeris dan kesalahan ejaan yang masih terdapat di persekitaran Rawang.