RAHSIA JELITA DI SELAYANG

Ingin kelihatan jelita? Datanglah ke Selayang yang terletak dalam daerah Gombak, Selangor. Terdapat sebuah “Kedai Serbaneka: Rahsia Jelita” di sini. Agaknya, terdapat barangan yang dijual di sini dapat membuatkan pelanggan menjadi jelita. Pemilik kedai ini ternyata bijak memilih nama bagi premis perniagaannya. Pemilik “Restoran Rumpun Selera” pun berfikiran yang sama. Pelanggan pasti tertarik untuk singgah menjamu selera di restoran ini. Pemilik dua buah salun, “Salun Kecantikan LNZ” dan “Salun Nur Cahaya”  turut memilih nama yang menarik bagi kedai mereka.

Penulis pernah tinggal di Kampung Selayang Indah. Di daerah Selayang, banyak nama tempat dan nama jalan yang sesuai dan sedap disebut. Antaranya ialah Kg. Sg. Kertas, Taman Jasa, Taman Selayang Mutiara, Selayang Mulia, Jalan Indah dan Jalan Mutiara.

Papan tanda arah ini jelas. Tetapi, perhatikan: “Kediaman Resmi YDP MPS”.

Maksud resmi mengikut Kamus Dewan (Edisi Keempat, hlm. 1324) ialah sifat semula jadi, sifat khas (benda, adat, perangai, tabiat). Resmi juga membawa maksud sifat atau resam. Jadi, penggunaan kata “resmi” bagi kediaman di sini tidak tepat. Yang betul ialah “Kediaman Rasmi YDP MPS”.

Penulis berasa hairan melihat nama beberapa kawasan perumahan baru yang tidak mencerminkan wajah Malaysia. Antaranya ialah “Idaman Hills”, “One Sierra”, “162 Residency” dan “One Selayang”. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak sewajarnya meluluskan permohonan bagi nama-nama tempat seperti ini.

Bahasa Inggeris juga digunakan secara berleluasa di beberapa tempat. Di Kompleks Renang Selayang, ada kedai makanan yang menjual sup dan sate; ada sebuah pasar mini,  tetapi pemiliknya lebih mengutamakan bahasa Inggeris.

Lihatlah. Nama-nama kedai dan papan iklan semuanya dalam bahasa Inggeris! Walaupun Selayang kini dibanjiri pendatang asing Bangladesh, Myanmar dan Indonesia, tetapi mereka pun bukannya pandai berbahasa Inggeris.

 

Kain rentang ini bercampur-aduk bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa slanga. Semua orang akan faham jika ditulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya: “Tempahan Cendol untuk Rumah Terbuka Hari Raya”.

“Nathan Diagnostic Centre”. Jika pemilik premis ini berjiwa Malaysia, tentulah tidak susah baginya untuk menamakan premis ini “Pusat Diagnostik Nathan”.

“Yeop Lemang, Kuala Kangsar”. Penulis mengandaikan begini: Yeop Lemang berasal dari Kuala Kangsar. Mungkin dia baru berpindah ke Selayang. Jadi, dia menggantung kain rentang yang terpampang nama dan nombor telefonnya supaya senang dijumpai oleh orang yang mencarinya. Yeop mendapat gelaran “lemang” mungkin disebabkan dia suka makan lemang atau dia seorang penjual lemang. Andaian ini mungkin betul atau sebaliknya. Yang pasti, melihat kepada kain rentang, di sinilah tempat Yeop memasak dan menjual lemang. Tulisan yang sepatutnya pada kain rentang ini ialah “Lemang Yeop, Kuala Kangsar”.

“Poliklinik Murni & Surgeri”. Poliklinik bermaksud hospital atau klinik tempat merawat berbagai-bagai penyakit. Surgeri pula adalah perkhidmatan yang terdapat di poliklinik ini. Papan tanda nama yang betul bagi premis ini ialah “Poliklinik & Surgeri Murni”.

 

Apabila susunan kata tidak betul, bahasa akan salah dan membawa maksud yang berlainan. “Pusat Hiasan Lampu” bermaksud di sinilah tempat bagi sesiapa yang ingin menghias lampu. Apabila penulis memasuki kedai ini, ternyata bahawa barangan yang dijual ialah lampu yang pelbagai jenis untuk kegunaan pejabat dan kediaman. Kedai ini sepatutnya dinamakan “Pusat Lampu Hiasan”.

Maklumat pada kain rentang ini bercampur-aduk bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Frasa “Murah Bayaran” tidak betul susunannya. Yang betul ialah “Bayaran Murah”.

“Kedai belakang boleh parking”. Nasihat penulis kepada pemilik kedai, gunakanlah bahasa Melayu baku dan tidak melucukan seperti ini. Silalah meminta pendapat atau pandangan daripada pihak yang lebih arif tentang bahasa Melayu. Cadangan penulis: “Tempat meletak kenderaan disediakan di bahagian belakang kedai” atau “Sila letak kenderaan anda di bahagian belakang kedai”.

 

“Pemborong & Runcit Kasut”. Frasa ini agak mengelirukan. Pemborong jelas maksudnya, manakala runcit kasut bermaksud pelbagai jenis kasut. Jika pemilik kedai ini ialah pemborong kasut, maka papan tanda nama kedai sepatutnya ditulis “Pemborong Runcit Kasut”. Sekiranya dia juga menjual kasut, nama yang tepat bagi kedainya ialah “Pemborong & Peruncit Kasut”.

“Lain-lain perkhidmatan: Servis kenderaan, servis air-cond”. Maklumat pada papan tanda kedai ini  perlu dibetulkan. “Lain-lain perkhidmatan” tidak mengikut Hukum DM. Unsur yang diterangkan (D) merupakan kata utama yang harus didahulukan daripada perkara yang menerangkannya (M). Cara penulisan yang betul ialah “Perkhidmatan lain: Membaiki kenderaan, membaiki alat pendingin hawa”.

 

Kesalahan ejaan tidak sepatutnya dilakukan oleh pemilik premis perniagaan. Pelbagai jenis kamus terdapat dalam pasaran untuk dijadikan rujukan. Banyak pemilik premis di sini tidak menitikberatkan tentang ejaan bahasa Melayu. “Elektrik” adalah ejaan yang betul, bukannya letrik atau eletrik; “batik sarung” bukannya batek sarong; “kain pelekat” bukannya kain palaykat; “atendan pam” bukannya pam atandan; “motosikal” bukannya motorsikal, “ekzos” bukannya eksos; “menyembur cat” bukannya menyambur cat.

 

Pemilik premis perniagaan ini sepatutnya mengutamakan bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris. Besarkan tulisan dalam bahasa Melayu supaya lebih menonjol daripada bahasa lain.

 

Bagi dua buah premis ini, “di” bukanlah imbuhan yang perlu dicantum dengan kata yang mengikutinya.Kata sendi “di” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Cara penulisannya, hendaklah dieja terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Jadi, ejaannya perlu dipisahkan menjadi “di sini”.

 

Pemilik-pemilik kedai ini perlu menukarkan segera tulisan pada papan tanda kedai mereka. Penulis yakin pelanggan akan tetap mengunjungi kedai jika dinamakan “Koleksi Seri Tiara”, “Koleksi Nas” dan Butik Koleksi YY”. “Eeda Beauty Gallery” pun perlu menukarkannya menjadi “Galeri Kecantikan Eeda”.

 

“Bahaya: Talian Elektrik Voltan TNB Tinggi”.  Bagi papan tanda amaran ini, penulis mencadangkan dua frasa yang lebih tepat, iaitu “Bahaya: Talian Elektrik Voltan Tinggi TNB” atau “Bahaya: Talian Elektrik TNB Bervoltan Tinggi”.

“Meletak Kenderaan di Kawasan Larangan akan Dikunci”. Frasa ini tidak lengkap dan tidak membentuk ayat yang sempurna. “Meletak Kenderaan di Kawasan Larangan” bukan benda atau sesuatu yang dapat dikunci. Yang akan dikunci ialah kenderaan. Maka, frasa ini perlu ditulis begini: “Amaran: Kenderaan yang Diletakkan di Kawasan Larangan akan Dikunci”.

Di bahagian luar sebuah pasar raya, terdapat papan kenyataan yang bertulis: “Bagi tujuan keselamatan, pusat membeli-belah ini adalah di bawah kawalan kamera litar tertutup”. Kesalahan yang pertama ialah pada perkataan “pusat membeli-belah” yang sepatutnya “pusat beli-belah”. Kedua, kamera litar tertutup tentulah tidak dapat mengawal pusat beli-belah seperti yang dilakukan oleh pengawal keselamatan. Cadangan penulis: “Bagi tujuan keselamatan pelanggan, pusat beli-belah ini diawasi melalui kamera litar tertutup”.

“Selayangku Sayang” slogan PBT. Sungguh sayang sekiranya pihak berkuasa tempatan tidak menguatkuasakan undang-undang ke atas pemilik premis perniagaan yang mengambil mudah dalam penggunaan bahasa kebangsaan. DBP menyediakan Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa untuk para pengguna menanyakan sebarang kemusykilan tentang bahasa, sastera, penerbitan dan korporat.

DBP juga menerbitkan Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa dan Siri Lembar Bahasa dapat dicapai melalui Laman Sesawang DBP – (http://www.dbp.gov.my).

Oleh Adnan Abd. Jamil