MEMORI INDAH DI SUNGAI BESAR

Sungai Besar, sebuah pekan yang terletak di antara Sekinchan dan Sabak Bernam, Selangor. Jarak jauh pekan ini dari Kuala Lumpur lebih kurang 120 kilometer. Kebanyakan penduduk Sungai Besar terdiri daripada petani, pengusaha IKS dan nelayan. Padi merupakan tanaman utama, selain kelapa kelapa sawit. Sungai Besar menjadi pusat pentadbiran Majlis Daerah Sabak Bernam.

Pekan ini menjadi tempat persinggahan pengguna jalan raya yang menuju ke Sabak Bernam atau Teluk Intan. Sebagai pekan terbesar di daerah Sabak Bernam, banyak premis perniagaan muncul bagi memenuhi keperluan pelanggan tempatan dan luar. Penulis berkesempatan meninjau pekan ini untuk melihat penggunaan bahasa pada papan tanda nama kedai dan kawasan perumahan.

Pengunjung pasti tertarik dengan nama sebuah kedai peralatan perkahwinan yang dinamakan “Galeri Memori Indah”. Perkahwinan suatu memori yang indah dan akan menjadi kenangan manis bagi pasangan pengantin. Pemilik kedai bijak menamakan kedainya yang tentu sahaja menjadi tarikan bakal raja sehari.

Sebuah kedai dobi dinamakan “Aneka Mesra”. Menarik juga nama kedai dobi ini. Bagaimanakah agaknya kemesraan yang beraneka yang ditunjukkan oleh pemilik dan pelayan kedai tersebut?

“Pusat Pakaian Kime” mengutamakan bahasa Melayu, selain bahasa Cina. Pelanggan pelbagai bangsa sudah tentu mudah memahami bahasa Melayu yang ditulis jelas dan besar. Begitu juga dengan “Poliklinik Gunwant” yang menulis nama dalam bahasa Melayu dengan jelas dan tulisan bahasa Cina yang kecil sedikit di bawahnya. Kedua-dua buah premis ini menggunakan Hukum D-M yang tepat.

Pemilik “Restoran Chan Kee”, “Restoran How Wan” dan “Kedai Kopi Yen Woh” turut mengutamakan bahasa Melayu pada papan tanda nama kedai mereka. Mereka rakyat Malaysia yang prihatin menggunakan bahasa kebangsaan, walaupun kedai mereka khusus untuk pelanggan bukan Melayu.

Tuan punya “Kedai Elektrik Syarikat Ban Soon Leong” juga tahu bahawa bahasa Melayu mudah difahami. Tulisan nama kedainya dalam bahasa Melayu kelihatan jelas. Perkataan “elektrik” yang sering menjadi kekeliruan dan kerap kali salah ejaannya ditulis dengan betul.

“Hair Salon & Kedai Dobi” – separuh bahasa Melayu dan separuh lagi bahasa Inggeris. Pemilik kedai ini dinasihatkan supaya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada nama kedainya. Tidak susah untuk menggantikan “hair salon” dengan “salun rambut”.

Banyak juga premis perniagaan yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya bagi nama kedai mereka. Antaranya, termasuklah “Zarith Collection”, “Cindai Rita Collection”, “Zek Collection” dan “Gan Fashion Boutique”. Penulis berharap Pihak Berkuasa Tempatan dapat menegur pemilik-pemilik premis tersebut supaya segera menukarkan nama pada papan tanda nama kedai mereka kepada bahasa Melayu.

Penulis berasa hairan melihat kebanyakan pemilik pasar raya sukar untuk menulis betul kata majmuk “pasar raya”. Sama halnya seperti di tempat lain, pemilik premis perniagaan di sini pun melakukan kesalahan apabila menulis nama pada papan tanda nama kedai mereka. Pemilik “Pasaraya Borong Sakan”, “Pasaraya Billion” dan “Pasaraya Eng Siong” hendaklah membetulkan ejaan “pasaraya” pada papan tanda nama kedai mereka menjadi  “pasar raya”. Kata majmuk hendaklah ditulis dua patah perkataan.

Nampaknya, masih banyak pengguna bahasa Melayu yang keliru untuk menulis “di” sebagai imbuhan awalan dan “di” sebagai kata sendi nama. Kedudukan “di” sebagai imbuhan awalan hendaklah digabungkan dengan kata dasar selepasnya. Manakala “di” “yang berfungsi sebagai kata sendi nama dijarakkan daripada frasa atau kata nama yang mengikutinya.

Mengakhiri tinjauan, penulis melewati beberapa jalan dan taman perumahan yang diberikan nama yang sedap dan menarik. Kebanyakan jalan menggunakan nama pokok, umpamanya Jalan Ceri, Jalan Keriang, Jalan Sena, Jalan Meranti dan Jalan Jati. Bagi kawasan perumahan, nama-nama seperti Taman Raya, Taman Ria dan Taman Desa Indah memang sesuai dan indah sebutannya.

Orang ramai, termasuk pemilik premis perniagaan dinasihatkan supaya merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam semua urusan kebahasaan. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa disediakan bagi para pengguna menanyakan kemusykilan tentang bahasa, sastera, penerbitan dan korporat. Pertanyaan akan dijawab oleh pemudah cara yang bertugas, iaitu Pegawai Khidmat Nasihat Bahasa dan Pakar Rujuk Bahasa.

DBP turut menerbitkan Siri Lembar Bahasa sebagai panduan bagi menamakan bangunan, syarikat, jalan, taman perumahan, perkhidmatan, pusat rekreasi, fesyen dan program media. Ruangan Khidmat Nasihat Bahasa dan Siri Lembar Bahasa dapat dicapai melalui Laman Web DBP – http://www.dbp.gov.my.

Oleh Adnan Abd. Jamil