ANGGUR TASIK BERIS

Tasik Beris merupakan sebuah tasik buatan manusia di Malaysia, yang terbentuk hasil dari pembinaan Empangan Beris iaitu pada 10 Ogos 2000. Empangan Beris pada asalnya adalah kawasan perkampungan yang terdiri daripada beberapa buah kampung – Kampung Sungai Batang, Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar. Dari Pekan Sik, jarak ke tasik ini lebih kurang 24 kilometer atau dari Alor Setar sejauh 90 kilometer.

Penduduk-penduduk kampung tersebut sekarang ditempatkan di Bandar Baru Beris Jaya, kira-kira 10 kilometer dari Pekan Sik. Sekolah Kebangsaan Sungai Batang turut terlibat dalam projek Empangan Beris. Sekolah baharu dibina di penempatan yang baharu, iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya.

Di beberapa kawasan berhampiran tasik, terdapat chalet yang diusahakan oleh penduduk kampung. Penyewa chalet berpeluang menikmati keindahan tasik ini dan melawat ladang anggur seluas 34 ekar, yang menjadi ladang anggur pertama dan terbesar bukan saja di Negeri Kedah, malah di Asia Tenggara.

Ladang anggur ini dibangunkan oleh Excel Agrotech, sebuah syarikat bumiputera yang ditubuhkan pada tahun 2007. Ladang anggur ini dikenali sebagai Ladang Anggur Tasik Beris. Ladang yang berhampiran Empangan Beris berkeluasan empat ekar dengan jumlah tanaman anggur sebanyak 1000 pokok. Di sini, pelawat dibenarkan masuk ke dalam ladang dan jika musim buah, pelawat dapat membeli buang anggur yang dijual di galeri atau boleh memetik sendiri anggur di pokok dengan bayaran yang ditetapkan.

Pelawat pasti teruja melihat buah anggur bergantungan sehinggakan pelawat terpaksa tunduk ketika lalu di bawah pokok kerana para yang dibuat bagi pokok ini menjalar lebih kurang lima kaki sahaja. Para dibuat rendah supaya senang untuk memetik buah anggur ketika musim menuai.

Sebuah lagi ladang anggur di Sungai Senang berkeluasan 30 ekar dengan jumlah tanaman sebanyak 6000 pokok. Di ladang ini, pelawat tidak dibenarkan masuk.

Umum mengetahui bahawa pokok anggur hanya hidup di kawasan yang berilim sejuk. Tetapi, dengan teknologi yang dipelajari, pihak pengurusan di sini berjaya menanam anggur di dalam kawasan bertutup yang dikenali sebagai “rumah hijau”. Di dalam “rumah hijau” inilah anggur hidup subur dan mengeluarkan buah yang setanding dengan anggur dari luar negara. Kawasan tanaman perlu ditutup dengan jaring untuk mengelakkan serangga yang dapat merosakkan buah.

Ladang ini sentiasa dikunjungi pelawat daripada jabatan kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah yang berminat untuk mengetahui cara-cara penanaman anggur. Anggur ditanam menggunakan kaedah biji benih, keratan ranting, tunas dan penghasilan tisu kultur. Pokok anggur ini mengambil masa antara 10 hingga 12 bulan untuk matang. Empat jenis anggur ditanam di ladang ini, iaitu Black Grape, Black Opal, White Malaga dan Loose Pelite.

Menurut Penolong Pengurus Ladang Anggur Tasik Beris, Hafiza hamzah, hasil yang dikeluarkan oleh ladang anggur ini hanya cukup untuk pasaran tempatan sahaja. Permintaan memang banyak sehinggakan pihaknya tidak dapat memenuhi keperluan semasa, apatah lagi memasarkannya ke daerah lain. Oleh itu, pihaknya sentiasa berusaha menambahkan hasil pengeluaran dengan menanam lebih banyak pokok dari semasa ke semasa.

Pihak pengurusan ladang mendapatkan pekerja mahir dari Thailand yang berpengalaman dalam penanaman anggur. Mereka juga sering melawat ladang anggur luar negara untuk melihat cara pengurusan ladang anggur di sana. Di sana, mereka berbincang dan bertukar-tukar pengetahuan tentang tanaman anggur.

Selain buah anggur segar, di ladang ini terdapat beberapa produk yang dihasilkan daripada anggur. Produk tersebut ialah jus anggur, kordial, jem, kismis, kek lapis anggur dan minyak biji anggur. Terdapat juga barangan hiasan dan cenderamata yang bertemakan anggur seperti baju-T, payung, topi, koleh dan rantai kunci. Barangan berasaskan anggur yang lain ialah losen, sabun dan krim mandian. Kesemua produk ini dijual di sebuah galeri yang disediakan berhampiran ladang.