BELAJAR MELALUI PENGALAMAN

Belajar melalui pengalaman (experiential learning) ialah cara pemelajaran daripada  pengalaman. Belajar melalui pengalaman juga ialah proses belajar dan proses perubahan yang menggunakan pengalaman sebagai media belajar atau pemelajaran. Apa-apa yang dialami secara aktif dan diusahakan untuk proses pemahaman, mencari makna daripada pengalaman tersebut ialah pemelajaran melalui pengalaman.

Terdapat tiga tahap proses belajar melalui pengalaman. Pertama, anak-anak tahu mengenai sesuatu perkara itu sehingga mereka mendapat pengetahuan. Kedua, proses pemahaman dan ketiga ialah pentingnya untuk melakukannya. Semangat untuk bekerjasama dengan anak-anak yang lain adalah penting juga bagi mendapat pemelajaran melalui pengalaman ini. Pelibatan ibu bapa dan guru dalam proses pemelajaran ini dengan melengkapkan proses ini lagi.

Ada pelbagai cara untuk belajar. Bagi anak-anak kecil, belajar ialah satu perkara yang tidak boleh dielakkan kerana sudah menjadi kewajipan ibu bapa untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Oleh itu, anak-anak disuruh pergi ke sekolah untuk belajar. Anak-anak tidak boleh bersuara pada usia begini kerana mereka tidak tahu apa-apa yang baik dan apa-apa yang buruk dalam kehidupan sehari-hari. Oleh hal yang demikian, ibu bapa dan guru memainkan peranan yang penting dalam memberi anak-anak ini peluang untuk menikmati kehidupan sebagai seorang pelajar sekolah dan mengalami proses pemelajaran dengan sendiri.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan emosi dan pemelajaran anak-anak. Anak-anak seharusnya diberi pelung untuk mengalami sendiri pengalaman bagi tujuan pemelajaran. Berikan peluang kepada anak-anak untuk melalui pengalaman supaya mereka dapat memahami setiap apa-apa yang dilalui dengan lebih berkesan.

Sebagai contoh, jika anak-anak ingin belajar mengenai seekor kucing, eloklah ibu bapa membawa kucing dan dengan penuh perhatian, mereka harus memastikan bahawa kanak-kanak dapat melalui pengalaman dengan melihat dan menyentuh kucing tersebut. Kanak-kanak akan bertanya pelbagai soalan yang dapat menjelaskan keadaan dengan lebih baik. Sebagai ibu dan bapa, anda akan dapat mengambil peluang ini dengan bertanyakan soalan-soalan yang mudah mengenai kucing tersebut supaya mereka dapat menghayati pemelajaran yang tidak dirancang ini.

Pembelajaran secara tidak dirancang ini, dapat memberikan peluang kepada anak-anak untuk menjelaskan atau menyoal apa-apa yang terbuku di dalam hati mereka. Kita seringkali lupa bahawa pemelajaran melalui pengalaman ini sedikit banyak dapat mengingatkan anak-anak untuk menyoal dan menjawab soalan dengan secara spontan dan pada masa yang sama, dapat menjadikan anak-anak itu lebih berani dalam menyuarakan pendapat mereka.

Sementara itu, guru dapat juga membantu anak-anak ini melalui pengalaman mereka sendiri. Di dalam kelas, guru seharusnya merancang pelajaran yang banyak melibatkan anak-anak melalui pengalaman. Cara ini bukan sahaja diterangkan di dalam bilik darjah dan banyak melibatkan teori, tetapi adalah dari sudut praktikal, iaitu melalui pengalaman sendiri. Guru haruslah memberikan peluang kepada anak-anak untuk bertanya seberapa banyak soalan yang  ingin disuarakan oleh mereka. Galakkan mereka untuk bertanya apa-apa sahaja soalan.

Guru perlu mengelakkan diri daripada menakutkan anak-anak apabila mereka bertanya mengenai apa-apa yang dilihat dan didengar serta apa-apa yang telah dilalui mereka. Sebaliknya, guru haruslah kerap memberikan pujian kepada mereka supaya mereka dapat bersuara tanpa rasa takut. Belajar melalui pengalaman ini dapat memberikan manfaat kepada anak-anak di dalam kelas. Oleh hal yang demikian, mereka dapat mengingati apa-apa yang diajar di dalam kelas dengan lebih berkesan.

Contoh-contoh belajar melalui pengalaman:

  1. Melawat zoo negara sekurang-kurangnya sekali setahun supaya anak-anak dapat melihat binatang-binatang itu dengan sendiri.
  2. Mengunjungi kampung berhampiran supaya anak-anak dapat melihat sendiri dan mengalami pengalaman seperti melihat  perigi, sungai, binatang ternakan,  rumah-rumah kampung, dan sebagainya.
  3. Melawati tempat-tempat seperti sawah padi, kebun getah, kebun kelapa sawit, kebun kelapa, dan sebagainya.
  4. Membawa anak-anak memancing ikan, memegang ikan yang tiada sengat, mencari cacing, memegang cacing, dan sebagainya.
  5. Mengajak anak- anak untuk mencuba membuat kek, kuih dan biskut.
  6. Mengalami sendiri cara menanam sayur, memotong dengan pisau yang tumpul dan memasak.
  7. Melawat muzium negara dan melihat sejarah serta artifek yang dapat menambahkan ilmu pengetahuan anak-anak.
  8.  Melawat perpustakaan dan memastikan anak-anak memilih buku mengikut minat sendiri.
  9. Membawa anak-anak menonton wayang atau teater kanak-kanak.
  10. Memberikan peluang kepada anak-anak untuk menjadi pelakon teater sekolah atau berlakon di dalam kelas.
  11. Membawa anak-anak pergi berkhemah di tepi pantai atau di hutan dan mengalami keadaan sebenar semasa berkhemah.
  12. Memberikan peluang kepada anak-anak untuk memilih barangan di kedai serta membayar di kaunter.
  13. Memberikan peluang kepada anak-anak untuk berniaga sendiri dan mereka dapat mengalami keadaan jual beli seperti yang sering dilihat oleh mereka semasa keluar bersama keluarga untuk membeli-belah.

Terdapat banyak lagi aktiviti lain yang boleh disarankan sebagai aktiviti belajar melalui pengalaman. Perkara yang perlu diingati ialah semua aktiviti belajar melalui pengalaman ini haruslah dengan pengawasan orang dewasa, sama ada ibu, bapa ataupun guru. Anak-anak kecil tidak harus dibiarkan bersendirian kerana ada antara aktiviti ini memerlukan pengawasan yang rapi. Ibu bapa dan guru sememangnya memainkan peranan yang penting dalam memberikan peluang kepada anak-anak untuk mengalami sendiri apa-apa yang dipelajari. Awasilah mereka dan berilah mereka peluang untuk belajar sama dan yang paling utama, berilah mereka peluang untuk mengalami semua pemelajaran dengan sendiri. Mereka pastinya berjaya mengingati semua yang dipelajari dengan mudah kerana mereka telah pun mengalaminya sendiri.

Dr. Normaliza Abd. Rahim